Bola sepak: Kem latihan skuad Harimau Malaya dipendekkan

Bernama
Mac 28, 2021 13:05 MYT
Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata kem selama sembilan hari itu dipendekkan bagi memberi ruang kepada pemain berehat serta melakukan persiapan lebih awal bersama kelab masing-masing. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak kebangsaan telah menamatkan kem latihan pusat di Johor Bahru, dua hari lebih awal berbanding perancangan asal sehingga Selasa ini.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata kem selama sembilan hari itu dipendekkan bagi memberi ruang kepada pemain berehat serta melakukan persiapan lebih awal bersama kelab masing-masing memandangkan aksi liga seterusnya agak dekat.
Beliau berkata ketiadaan aksi persahabatan antarabangsa pada kem tersebut yang diadakan buat kali pertama sejak November 2019, turut mempengaruhi keputusan tersebut.
"Saya berasa gembira melihat reaksi positif yang ditunjukkan pemain dalam tempoh seminggu ini selepas setahun lebih kami tidak berkumpul bersama, selain komitmen tinggi yang ditunjukkan biarpun telah mengharungi jadual padat lima perlawanan Liga Super dalam tempoh dua minggu sebelum melapor diri.
"Walaupun kem dipendekkan, ia tetap mencapai objektifnya, iaitu saya dapat lihat pemain masih berjaya mengekalkan corak permainan kita terutama dari segi taktikal, memahami cara pasukan kita bermain. Saya cukup berpuas hati," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kem latihan pusat bermula Isnin lepas adalah bagi mempersiapkan skuad Harimau Malaya menghadapi baki saingan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang bakal diadakan secara karnival di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.
Malaysia dijadualkan menyambung balik aksi kelayakan itu, yang terganggu lebih setahun akibat pandemik COVID-19, menentang UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).
Mengulas lanjut, Cheng Hoe berkata banyak perkara positif dapat dilihat dalam pasukan, terutamanya pemain-pemain baharu yang cepat menyesuaikan diri serta bekerjasama sebagai satu pasukan, selain persefahaman dalam kalangan pemain yang baik.
"Saya harap, apabila kita berkumpul semula pada Mei nanti, para pemain dapat datang dengan keadaan cukup bersedia dan bebas daripada kecederaan supaya kita akan dapat terus beri fokus sepenuhnya untuk baki tiga perlawanan kempen kelayakan yang cukup penting.
"Diharap juga dengan pelepasan awal ini, para pemain dapat rehat secukupnya dan bersedia untuk kembali menyambung aksi Liga Super bersama kelab masing-masing bermula Jumaat dan Sabtu ini (2 dan 3 April)," tambahnya.
Cheng Hoe mewakili pihak FAM dan skuad Harimau Malaya, turut merakamkan penghargaan kepada kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka sepanjang tempoh itu.
-- BERNAMA
#bola sepak #harimau Malaya #latihan skuad kebangsaan #Persatuan Bola Sepak Malaysia #JDT #FAM #Tan Cheng Hoe #Piala Dunia #Johor Bahru #COVID-19 #jurulatih kebangsaan
;