Bola Sepak: Kedah pintas T-Team
Astro Arena
Julai 7, 2015 07:42 MYT
Julai 7, 2015 07:42 MYT
Pasukan Kedah merampas kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana daripada T-Team, selepas mengalahkan pasukan tuan rumah itu 2-0 pada pertembungan dua pasukan teratas di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Kedah memintas T-Team di tangga teratas Liga Perdana dengan kutipan 34 mata selepas 15 perlawanan, berkelebihan satu mata ke atas T-Team yang turun ke tempat kedua.
Pada aksi malam tadi, Kedah berjaya memecah kebuntuan pada separuh masa kedua menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Sandro De Silva pada minit ke-47, sebelum Muhammad Farhan Roslan mengesahkan kemenangan mutlak skuad Helang Merah pada minit ke-60.
Di Stadium Hang Jebat, Melaka, pasukan kelab PKNS FC meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan Pulau Pinang 3-2.
Skuad Harimau Kumbang, bagaimanapun terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi sepakan bebas menarik dari jarak 25 meter oleh Elias Sulaiman pada minit ke-45.
PKNS FC bangkit menjaringkan tiga gol menerusi Patrick Ronaldinho Wleh pada minit ke-47 dan ke-53 serta Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-76 sebelum Pulau Pinang memperoleh gol kedua pada minit ke-90 hasil kesilapan pemain PKNS FC, Shahrul Azhar Ture yang tertampan masuk bola ke gawang sendiri.
PKNS FC kemudian terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada penghujung babak perlawanan setelah Munir Amran dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain pasukan pelawat.
Turut meraih tiga mata penuh adalah pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuantan FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan hasil jaringan tunggal kapten pasukan, Shahril Ishak pada minit ke-65.
Negeri Sembilan yang dikenali sebagai NS Matrix musim ini, sekadar seri 1-1 menentang SPA Putrajaya FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Dalam pada itu, Sabah tewas mengejut 2-3 kepada UiTM FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Tiga gol pasukan pelawat dijaringkan oleh Abdi Kassim Sadallah pada minit ke-14, Julien Mbom (minit ke-55) dan Mohd Syafiq Mokhtar (minit ke-68), manakala Sabah meraih gol menerusi El Hadji Diouf pada minit ke-57 dan Eamon Zayed pada minit ke-90.
Sementara itu, perlawanan antara Kuala Lumpur dan DRB Hicom FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Inspen, Bangi, malam ini, ditunda ke Jumaat ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.