Bola keranjang wajar dijadikan Sukan 1Malaysia

Bernama
Disember 2, 2012 02:57 MYT
Sukan bola keranjang yang lebih diminati kaum Cina wajar dijadikan acara Sukan 1Malaysia bagi memecahkan monopoli kaum dalam permainan tersebut.
Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri Datuk Latt Shariman Abdullah berkata bangsa lain terutama Melayu dan India seharusnya mendekatkan diri dengan orang Cina untuk mempelajari permainan bola keranjang.
"Cara ini akan dapat mengeratkan hubungan kaum menjadi lebih harmoni. Saya yakin kaum Cina menyambut baik cadangan bola keranjang dijadikan acara Sukan 1Malaysia," katanya yang juga ketua Umno bahagian Kuala Kedah.
Beliau ditemui selepas menyampaikan hadiah pertandingan akhir Liga Bola Keranjang Piala Ketua Umno Kuala Kedah di Sekolah Rendah Sin Min, Simpang Empat, dekat sini malam tadi.
Liga tersebut yang pertama kali diadakan berlangsung selama sebulan disertai 12 pasukan dalam Parlimen Kuala Kedah dan akan dijadikan kejohanan tahunan.
Pada perlawanan akhir itu, pasukan Taman Bunga Raya menewaskan Taman Simpang Jaya 85-82 untuk membawa pulang piala pusingan dan hadiah wang tunai RM1,000 manakala naib juara menerima RM500.
"Walaupun kejohanan ini tidak disertai kaum Melayu, cuma seorang kaum India, saya yakin ia telah mencetuskan minat golongan muda Melayu berdasarkan kehadiran mereka menyaksikan perlawanan yang diadakan," katanya.
Sementara itu pengerusi Persatuan Bola Keranjang Kedah Utara, Datuk Tan Soon Lee yang turut hadir menyokong bola keranjang dijadikan Sukan 1Malaysia dan mahu semua kaum terlibat.
Beliau menyifatkan penganjuran kejohanan tersebut juga salah satu usaha menarik minat kaum lain menceburi sukan bola keranjang.
#bola keranjang #Sukan 1Malaysia