Bola keranjang NBA: Lebron James dapatkan rawatan lanjutan di LA

Astro Arena
Januari 31, 2022 13:18 MYT
Ketua jurulatih Lakers, Frank Vogel, mengesahkan bintang itu telah kembali ke LA semalam dan selepas menjalani ujian imbasan MRI, dia sekadar mengalami bengkak.- Gambar fail
LEBRON JAMES kembali ke Los Angeles (LA) untuk menjalani rawatan lutut kirinya dan terlepas perlawanan ketiga berturut-turut ketika Lakers tumbang 121-129 kepada Atlanta Hawks, sebentar tadi.
Ketua jurulatih Lakers, Frank Vogel, mengesahkan bintang itu telah kembali ke LA semalam dan selepas menjalani ujian imbasan MRI, dia sekadar mengalami bengkak.
Pemain berusia 37 tahun itu yang menyumbangkan 25 mata atau lebih tinggi dalam 18 perlawanan berturut-turut, pada mulanya terlepas aksi kekalahan 87-105 kepada Philadelphia 76ers, Jumaat lalu, selepas bangkit daripada terjatuh dengan kesakitan.
"Selagi bengkak itu ada, dia akan berehat dan kami akan mendapatkan khidmatnya semula dengan secepat mungkin," kata Vogel kepada pemberita.
"Kami akan memantaunya dari hari ke hari."
Pemain Paling Bernilai (MVP) sebanyak empat kali itu secara purata menyumbangkan 29.1 mata, dengan 7.7 rebound dan 6.3 bantuan jaringan. Malah, dia bekerja keras di atas gelanggang apabila terbabit dalam 36.6 minit setiap perlawanan, pemain keempat paling kerap dipertaruhkan dalam NBA.
"Saya memikirkannya setiap hari," kata Vogel apabila ditanya tentang beban kerja anak buahnya itu sebaik pasukannya tumbang buat kali keempat dalam enam kunjungan di tempat lawan.
"Kami sentiasa mengambil berat tentang beban yang dipikulnya, dia dan pasukan perubatan sentiasa berkomunikasi."
#LeBron James #bola keranjang #NBA #LA Lakers
;