Bola Jaring: Malaysia tiada masalah ke final

Astro Arena
Ogos 19, 2017 12:52 MYT
Skuad negara diketuai Nur Syafazliyana (gambar) tidak berdepan sebarang masalah untuk memenangi suku pertama 25-4 sebelum menamatkan suku kedua 39-12. - Gambar fail
SKUAD bola jaring negara semakin menghampiri pingat emas Sukan SEA selepas mara ke final dengan menewaskan Brunei 70-28 dalam separuh akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.
Menepati ramalan ramai, skuad negara yang diketuai Nur Syafazliyana Mohd Ali tidak berdepan sebarang masalah untuk memenangi suku pertama 25-4 sebelum menamatkan suku kedua 39-12.
Skuad bimbingan Tracey Robinson itu kemudian mengekalkan jurang kepada 53-21 pada suku ketiga dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan 70-28.
Malaysia menurunkan Norashikin Kamal Zaman, An Najwa Azizan, Noramirah Dayana Noor Azhar, Siti Nor Farhana Mustafa, Nur Fariha Abdul Razak dan Pow Mei Fong selaku tujuh pemain utama.
Malaysia mara ke final buat kali kedua selepas tewas kepada Singapura di peringkat akhir ketika republik itu menjadi tuan rumah dua tahun lalu.
Singapura dan Thailand akan berentap dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung selepas ini untuk menentukan lawan Malaysia di pentas final, esok.
Dalam peringkat round robin sebelum ini, Malaysia menewaskan Thailand 73-30, Brunei 27-64, Singapura 50-37, Filipina 96-11.
#bola jaring #Brunei #KL2017 #Malaysia #Nur Syafazliyana Mohd Ali #Sukan SEA
;