Bojan Hodak sambut baik saranan TMJ, tetapi ada syaratnya

Astro Arena
Januari 31, 2022 09:16 MYT
HODAK: Saya tahu masalah bola sepak di Malaysia sepanjang 25 hingga 30 tahun lalu kerana saya telah mengikuti bola sepak Malaysia sebelum saya tiba di sini. - Foto Astro ARENA
KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, menyambut baik saranan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, untuk mengadakan sidang dialog terbuka dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun, pengendali kelahiran Croatia itu meletakkan beberapa syarat, antaranya sidang berkenaan perlu disiarkan secara langsung dan FAM perlu memberikan pelepasan untuk dia bebas melontarkan pandangannya tanpa berdepan risiko didenda badan induk itu.
Hodak ternyata teruja dengan saranan itu dan berharap ia bukan sekadar omong kosong demi keperluan bola sepak negara.
Baginya, semua pihak perlu telus dalam perbincangan itu dan dia bersedia untuk menjadi salah seorang panel berdasarkan pengalamannya sekitar 15 tahun dalam kancah bola sepak tempatan.
BACA: TMJ ajak FAM, pakar bola sepak semuka
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena semalam, dia berkata: "Satu perkara jika saya menyertai sidang meja bulat itu, saya memerlukan satu surat jaminan bahawa saya tidak akan didenda atas apa sahaja yang saya katakan kerana saya akan amat lantang.
"Dan ia juga perlu disiarkan secara langsung tanpa ada sebarang tapisan dan suntingan di sana-sini.
"Tetapi saya fikir ia idea yang hebat kerana anda perlu meluahkan sepenuhnya mengenai masalah bola sepak di Malaysia.
"Saya mengetahui masalah bola sepak di Malaysia sepanjang 25 hingga 30 tahun lalu kerana saya telah mengikuti bola sepak Malaysia sebelum saya tiba di sini.
"Ia idea yang hebat kerana jika sesuatu itu bermasalah, anda memerlukan perubahan," katanya.
BACA: 'Tak guna nak siasat'
BACA: FAM ambil serius teguran, cadangan Tunku Ismail
BACA: 'Saya jadi kambing hitam sedangkan saya tiada kaitan' - TMJ
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim #Bojan Hodak #syarat dialog
;