Bobie Farid dilantik CEO sementara Perak FC

Bernama
Mei 31, 2022 22:41 MYT
Perak FC mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) XOX Sdn Bhd Bobie Farid Shamsudin, sebagai CEO sementara kelab berkenaan berkuat kuasa hari ini.
IPOH: Perak FC mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) XOX Sdn Bhd Bobie Farid Shamsudin, sebagai CEO sementara kelab berkenaan berkuat kuasa hari ini.
Melalui satu kenyataan dikeluarkan hari ini, pasukan The Bos Gaurus turut melantik Badrol Izman Osman sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sementara yang berperanan untuk membantu Bobie dalam segala urusan melibatkann pasukan.
"Pelantikan ini akan menyokong perjuangan Perak FC untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Premier 2022, yang masih berbaki sembilan perlawanan," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Perak FC sedang berusaha menandatangani sekurang-kurangnya 14 pemain baharu pada jendela perpindahan kedua yang dibuka sejak 28 Mei lepas, bagi memperkuatkan pasukan sekali gus mencapai objektif utama untuk kembali beraksi dalam Liga Super.
"Sebelum ini, 14 pemain berkenaan tidak dapat didaftarkan selepas larangan yang dikenakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Perak FC, ekoran kegagalan menjelaskan tunggakan gaji pemain pada 22 Feb lalu.
"Kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain itu juga menyebabkan Perak FC dipotong sembilan mata oleh 'First Instance Body' (FIB) pada April 2022," katanya.
-- BERNAMA
#Perak FC #CEO sementara #interim #Bobie Farid Shamsudin #XOX Sdn Bhd #The Bos Gaurus #Badrol Izman Osman
;