Boateng optimis mahu bantu T-Team menjadi juara musim depan

Bernama
November 19, 2012 00:34 MYT
Pemain tengah T-Team yang baru menandatangani kontrak, George Boateng, yang menolak anggapan bahawa beliau datang ke sini hanya untuk suka-suka, tetap optimis untuk membantu pasukan kelab
itu merangkul semua kejuaraan Liga Malaysia pada musim akan datang.
Boateng, 37, bekas pemain antarabangsa Belanda pernah menyertai Feyenoord Rotterdam untuk Belanda dan juga pasukan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Middlesbrough, Aston Villa, Hull City dan Nottingham Forest, berkata beliau mengharapkan dapat melanjutkan kontraknya bersama T-Team.
"Saya adalah Boateng pertama yang bermain untuk Belanda. Saya juga pernah memegang rekod bermain paling banyak (388 kali) sebagai pemain asing dalam EPL.
"Nama saya ini sungguh bermakna bagi saya, lebih daripada wang dan cuti...saya ingin melihat nanti kerjaya saya di Malaysia ini dan mahu mendengar orang berkata saya ni seorang pemain yang baik," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Dilahirkan di Nkawkaw, Ghana, Boateng menerangkan beliau tertarik dengan kelab T-Team kerana ia dikendalikan dan dilatih oleh seorang berbangsa Inggeris, Peter James Butler.
"Adanya jurulatih Butler di sini penting kerana beliau tahu macam mana saya bermain...beliau juga tahu bagaimana bola sepak sepatutnya dimainkan. Saya berhenti bermain kerana soal wang sejak berumur 26 tahun...saya bermain untuk menjadikannya sejarah dan kerana suka kepada bola sepak," katanya.
Boateng, yang berpengalaman luas dalam kejohanan liga Eropah, menjangkakan bermain di Malaysia ini suatu cabaran hebat.
"Mungkin rentak di sini perlahan sedikit tetapi ia tetap sukar. Saya mungkin lebih dapat menguasai bola tetapi tidak pula mahu memandangnya mudah," katanya.
Ditanya mengenai Johor FC yang menandatangani kontrak dengan Daniel Guiza dari Sepanyol dan juga dengan bekas pemain Lazio, Simone Del Nero, Boateng, yang pernah bermain menentang ramai bintang bola sepak EPL ketika menyertai pasukan kebangsaan Belanda (2001–2006), berkata beliau akan bermain tanpa takut-takut.
"Saya pernah bermain menentang pemain terbaik di dunia, jadi saya sudah bersedia menghadapi mana-mana cabaran. Lawan saya boleh jadi pemain Sepanyol atau dari Brazil. Akan saya tunjukkan apa yang boleh saya lakukan jika mendapat bola nanti," katanya.
"Saya tak sabar-sabar lagi untuk berkongsi pengetahuan tentang bola sepak dengan mereka. Tidak boleh memikirkan 'aku' sahaja dalam pasukan. Semuanya diperlukan untuk menjadikan kelab ini gagah," kata Boateng.
#George Boateng #Liga Malaysia #Peter Butler #T- Team