BMX Johor International Championship 2023 pentas menguji atlet ke Olimpik

Muhammad Aiman Hakeem
Oktober 1, 2023 19:25 MYT
Inisiatif kejohanan yang buat julung kalinya diadakan itu adalah sebagai pentas 'warming-up' buat pelumba-pelumba tempatan dengan pesaing luar. - Astro AWANI
ISKANDAR PUTERI: Penganjuran Kejohanan BMX Johor International Championship 2023, berupaya menjadi platform bagi persiapan atlet berbasikal BMX ke Olimpik 2028.
Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Johor (Biro BMX), Mohamed Fairuz Jaafar berkata, inisiatif kejohanan yang buat julung kalinya diadakan itu adalah sebagai pentas 'warming-up' buat pelumba-pelumba tempatan dengan pesaing luar.
Katanya, beliau berhasrat agar para peserta dapat memanfaatkan pertandingan itu untuk mengasah bakat, kemahiran, pengetahuan serta teknik masing-masing.
"Dari segi potensinya, kita memang ada pelumba-pelumba yang berkemampuan untuk pergi ke Olimpik. Sekarang kita cuba untuk laksanakan satu proses persediaan atlet, sebab itu kita adakan kejohanan antarabangsa ini.
"Kita mahukan satu daya saingan yang hebat. Kita perlu untuk tengok sejauh mana pelumba-pelumba kita ini boleh bersaing pada tahap yang lebih tinggi.
"Ini juga sebagai kita punya program pembangunan ke Olimpik pada tahun 2028. Jadi dengan adanya kejohanan ini, selain daripada kita perlu keluar negara, mungkin mereka dapat datang ke sini dan bersaing dengan negara-negara yang lain.
"Tidak dinafikan juga ramai pemegang jersi kebangsaan datang bertanding hari ini. Ini salah satu platform buat mereka untuk perbaiki diri mereka," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Majlis Penutupan Kejohanan BMX Johor International Championship 2023, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau, sukan basikal BMX mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan di Johor dan di negara ini.
Justeru, pihaknya komited untuk melanjutkan penganjuran kejohanan tersebut pada siri yang kedua, tahun hadapan.
Jelas Mohamed Fairuz, bagi meningkatkan lagi saingan dalam BMX Johor International Championship, lebih ramai pencabar dari negara luar akan dijemput untuk mengambil bahagian dalam penganjuran yang seterusnya.
"Kita akan membawa pelumba-pelumba, contohnya, daripada Hong Kong atau Korea Selatan yang boleh sertai kita.
"Setakat ini memang mereka mengalu-alukan diri untuk datang ke Malaysia, cuma mungkin tahun ini tidak berkesempatan. Tetapi Insya-Allah, tahun hadapan mereka akan ikut serta.
"Negara-negara yang lain kita akan jemput seperti Australia dan beberapa negara-negara asia yang disasarkan untuk bersaing dalam kejohanan ini, tahun hadapan," tambahnya.
BMX Johor International Championship yang dianjurkan pada Sabtu dan Ahad itu diadakan di Trek Berbasikal BMX, bersebelahan Velodrom Johor, di sini.
Ia membabitkan penyertaan seramai 197 pelumba basikal mewakili pasukan masing-masing daripada empat buah negara terdiri Indonesia, Thailand, Singapura dan Malaysia.
Manakala sebanyak 22 kategori dipertandingkan mengikut jantina dan peringkat usia, melibatkan lima dan empat tahun, hingga kategori 40 tahun keatas.
Pasukan BMX Johor berjaya merangkul juara kumpulan keseluruhan selepas mengutip lapan pingat emas, lima perak dan enam gangsa.
Kejohanan tersebut dianjurkan Persatuan Berbasikal Negeri Johor, dengan sokongan daripada Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Mohd Hairi Mad Shah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Sukan, Belia dan Kesukarelawanan), Datuk On Jabbar@Jaafar, Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad dan Pengarah MSNJ, Mohd Ekmaluddin Ishak.
#BMX #johor international championship #sukan #Olimpik
;