Birmingham 2022: Malaysia sasar enam emas, terjun prospek baharu

Bernama
Julai 20, 2022 10:00 MYT
Shahrul Zaman (kiri) dan timbalannya Monteiro Gerard mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Ahmad Faizal (tiga, kiri). - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Enam pingat emas ditetapkan sebagai sasaran baharu kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengumumkan sasaran itu berkata enam emas disandarkan masing-masing kepada sukan terjun, angkat berat, badminton, gimrama, boling padang dan powerlifting.
"Pihak saya yakin semua atlet telah siap sedia menghadapi temasya Sukan Komanwel kali ini dan akan berusaha habis-habisan untuk mempamerkan prestasi terbaik di Birmingham.
"Kita ucapkan selamat berjuang buat wira dan wirawati negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 di sini, semalam.
Ahmad Faizal berkata sasaran baharu itu dibuat hasil kajian dan perbincangan antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).
Ia susulan penarikan diri pemain badminton perseorangan lelaki Lee Zii Jia dan kemalangan jalan raya yang menimpa pemain skuasy wanita S. Sivasangari.
Sebelum ini MOM mengumumkan sasaran tujuh pingat emas ditetapkan kepada kontinjen negara ke Birmingham bagi menyamai pencapaian pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
Ahmad Faizal berkata terjun dimasukkan dalam senarai penyumbang emas berdasarkan pencapaian skuad terjun kebangsaan yang membawa pulang dua gangsa pada Kejohanan Dunia baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Kontinjen Negara Datuk Shahrul Zaman Yahya percaya sasaran itu mampu dicapai selain tidak menolak kemungkinan kontinjen negara berupaya mencipta kejutan meraih lebih daripada jumlah ditetapkan.
"Kita perlu realisitik, jadi kita sasar enam tapi kita akan terus berusaha dapatkan lebih lagi, itu akan jadi bonus," katanya sambil memaklumkan terjun, badminton dan angkat berat mampu menghadiahkan lebih daripada satu emas di Birmingham.
Kontinjen negara ke Sukan Komanwel Birmingham merangkumi 105 atlet yang menyertai 14 jenis sukan termasuk empat sukan para.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #sasaran enam pingat emas #Sukan Komanwel Birmingham 2022 #kontinjen malaysia
;