Birmingham 2022: Dua beregu skuasy wanita negara tempah slot ke suku akhir

Bernama
Ogos 5, 2022 09:50 MYT
Aifa Azman (foto) dan Rachel Arnold menewaskan pasangan Pakistan Faiza Zafar-Amna Fayyaz 11-7, 11-6. -Gambar fail/Bernama
BIRMINGHAM: Dua pasangan skuasy negara menempah slot ke suku akhir acara beregu wanita Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menumpaskan lawan masing-masing di Pusat Skuasy dan Hoki Universiti Birmingham, di sini hari ini.
Pada aksi pusingan 16 terbaik itu hari ini, gandingan Aifa Azman dan Rachel Arnold menewaskan pasangan Pakistan Faiza Zafar-Amna Fayyaz 11-7, 11-6, manakala Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani Ampandi tidak berdepan masalah mengatasi cabaran wakil Kanada, Nicole Bunyan-Hollie Naughton 11-4, 11-3.
Menanti Aifa-Rachel di peringkat lapan terbaik itu ialah beregu India Joshana Chinappa-Dipika Pallikal Karthik, sementara Chan Yi Wei-Noor Ainaa Amani dijadual bertemu pasangan Australia Donna Lobban-Rachael Grinham, esok.
Sementara itu, Ong Sai Hung-Mohammad Syafiq Mohd Kamal, mengetepikan cabaran pasangan Barbados Simpson Shawn-Cummerbatch Khamal 11-3, 11-7 pada aksi pusingan 32, hari ini.
Pasangan negara itu akan berdepan beregu England Adrian Waller-Daryl Selby, manakala satu lagi wakil Malaysia Ng Eain Yow-Yuen Chee Wern yang mendapat 'bye' di pusingan 32, akan menentang pasangan adik beradik dari New Zealand Temwa-Lwamba Chileshe, di pusingan 16, esok.
-- BERNAMA
#Sukan Komanwel Birmingham 2022 #Aifa Azman #Rachel Arnold #slot suku akhir
;