Bintang badminton China, Lin Dan, umum persaraan

Agensi
Julai 4, 2020 14:25 MYT
Lin Dan yang pernah merangkul gelaran Olimpik dua kali menambah, beliau telah mendedikasikan komitmen penuh terhadap sukan kegemarannya itu.
JUARA dunia lima kali dari China, Lin Dan mengumumkan persaraan dari arena badminton pada Sabtu.
Menurut Persatuan Badminton China, Lin Dan telah menyerahkan surat rasmi persaraannya beberapa hari lalu.
Sementara itu, agensi berita antrabangsa melaporkan pemain berusia 37 tahun itu memaklumkan keputusan untuk menamatkan karier dibuat dengan mengambil kira tahap kecergasan fizikal dan kesihatan beliau.
"Saya sudah berusia 37 tahun, dan tahap kecergasan fizikal dan kecederaan tidak lagi membolehkan saya bersaing bersama rakan sepasukan," katanya.
Lin Dan yang pernah merangkul gelaran Olimpik dua kali menambah, beliau telah mendedikasikan komitmen penuh terhadap sukan kegemarannya itu.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan tidak berbelah bagi yang diberikan oleh keluarga, rakan sepasukan serta peminat.
Sebelum ini, Lin Dan dilaporkan berkata hanya akan bersara dari dunia badminton sekiranya saingan utamanya dalam sukan itu, Datuk Lee Chong Wei memutuskan untuk berbuat demikian.
Untuk rekod, sepanjang perlawanan, Lin Dan telah memenangi 666 pertandingan perseorangan dan hanya kalah 128 kali.
#badminton #juara dunia #Lin Dan #Olimpik #sukan
;