Bin Shen tetap bangga walaupun tiada 'hadiah perpisahan'
Bernama
Januari 12, 2025 16:54 MYT
Januari 12, 2025 16:54 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki negara Tan Bin Shen tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya di Terbuka Malaysia 2025 meskipun mereka gagal menjuarai kejohanan itu yang diharapkan menjadi hadiah perpisahan bermakna buatnya.
Bin Shen berkata kebanyakan pemain beregu lelaki negara menunjukkan peningkatan dengan mempersembahkan aksi terbaik mereka, namun kurang bernasib baik untuk mara lebih jauh dalam kejohanan pembuka tirai Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.
"Tentu sahaja, sasaran kita adalah menang kejohanan ini, tetapi saya puas hati kerana pemain-pemain telah berusaha untuk menang. Walaupun tidak mencapai sasaran, saya rasa mereka berusaha dengan baik.
"Kita ada impian dan sasaran tetapi kadangkala tidak semestinya kita dapat capai semua. Ini sebahagian daripada proses yang perlu dilalui dan kita mesti mengatasi segala halangan untuk mencapai matlamat itu," katanya ketika ditemui pada Terbuka Malaysia 2025 di sini malam tadi.
Sementara itu, Bin Shen berharap para pemain beregu lelaki negara terus berlatih lebih keras untuk merangkul kejuaraan pada masa hadapan.
Malah beliau percaya penggantinya, Herry Iman Pierngadi mampu menggalas tanggungjawab membimbing beregu negara dengan lebih baik berdasarkan pengalaman yang dimiliki jurulatih yang mendapat julukan 'Naga Api'.
"Dia juga bagus sebab pernah melatih bekas pemain beregu nombor satu dunia macam Kevin (Sanjaya Sukamuljo). Saya rasa ini sesuatu yang baik apabila Malaysia berjaya mendapatkan Herry untuk meningkatkan prestasi pemain beregu negara," katanya.
Bin Shen yang menamatkan tugasannya selepas Terbuka Malaysia berakhir hari ini bakal menyertai pasukan kebangsaan Hong Kong bermula bulan hadapan.
Semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan pelantikan Herry sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara berkuat kuasa 1 Feb ini dengan kontrak selama empat tahun.
--BERNAMA