Bimbing kelab luar negara impian setiap jurulatih, kata Cheng Hoe
Astro Arena
Mac 3, 2024 05:30 MYT
Mac 3, 2024 05:30 MYT
KETUA jurulatih Police Tero, Tan Cheng Hoe, mengakui bersedia berkelana di luar negara untuk lebih lama jika khidmatnya masih ditagih.
Bekas pengendali Selangor itu berkata mengendalikan kelab di luar negara merupakan impian mana-mana jurulatih, termasuk dirinya.
Cheng Hoe turut berharap keputusannya untuk ke Thailand akan membuka lebih banyak ruang buat jurulatih tempatan untuk turut sama berdepan cabaran baru.
"Itulah sasaran saya untuk terus berada di luar negara," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Di mana-mana sahaja, bukan sahaja di Thailand, kalau saya dapat tawaran untuk kekal di luar negara, memang saya mahu teruskannya.
"Ia demi mencari pengalaman dan cabaran baru buat saya sebagai jurulatih.
"Di samping itu, ia juga akan membuka ruang buat jurulatih lain dari Malaysia untuk turut berada di luar negara," katanya.