'Bila kalah, semuanya dianggap teruk' - Zidane
Astro Arena
Disember 24, 2017 15:45 MYT
Disember 24, 2017 15:45 MYT
JURULATIH Real Madrid, Zinedine Zidane, bersedia menghadapi kritikan selepas kekalahan El Clasico kepada Barcelona semalam dengan mendakwa; "Apabila kalah, semua orang fikir ia sudah berakhir".
Barcelona menang 3-0 di Santiago Bernabeu, dengan membelasah Madrid pada separuh masa kedua menerusi sentuhan pemusnah Luis Suarez, Lionel Messi dan Aleix Vidal.
Madrid, yang kehilangan Dani Carvajal akibat kad merah dalam insiden gol kedua Barca, kini ketinggalan 14 mata dengan seteru ketat mereka itu yang menduduki puncak LaLiga, sekaligus meninggalkan tugas menggunung jika mereka berhajat mengekalkan gelaran.
Walaupun Zidane terpaksa akur dengan kekalahan menyakitkan itu, dia tidak fikir Madrid sedang mengalami krisis.
"Kami tidak bermain dengan teruk, itu sebabnya ia lebih menyakitkan," kata Zidane dalam sidang akhbar.
"Bola sepak boleh berubah begitu cepat. Ramai orang mengatakan bahawa mereka (Barcelona) tidak bagus semasa pra-musim, dan kini prestasi kami akan dilabel sebagai teruk, esok.
"Ini adalah bola sepak, kami perlu menerimanya. Apabila anda menang, orang fikir semuanya indah dan apabila anda kalah, semuanya menjadi buruk.
"Kami sedih kerana ia adalah kekalahan yang menyakitkan tetapi pada masa yang sama, kami tidak akan berputus asa -- itu pasti.
"Apa yang perlu kami lakukan sekarang ialah untuk berehat secepat mungkin. Kami akan berehat seminggu dan kami akan kembali lebih kuat berbanding sebelum ini.
"Real Madrid tidak pernah berputus asa, tidak kira apa pun yang berlaku," hujahnya.