Bidoglio peroleh kemenangan pertama bersama JDT
Astro Arena
Ogos 1, 2022 06:30 MYT
Ogos 1, 2022 06:30 MYT
PENGENDALI baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio, meraih kemenangan pertama selepas mengatasi Kuala Lumpur City FC 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Kemenangan yang diperoleh di laman sendiri menyaksikan skuad Harimau Selatan kini memperoleh 35 mata serta kekal dengan rekod tanpa kalah.
JDT melakukan perubahan dalam kesebelasan utama apabila tidak menurunkan Matthew Davies yang mengalami kecederaan dan Adam Nor Azlin turun selaku bek kanan.
KL City ketinggalan selepas Giancarlo Gallifuoco mengasari Fernando Forestieri dalam kotak penalti dan pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Salleh, tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti.
Tugas mengambil sepakan penalti pada minit ketujuh itu mudah disempurnakan Bergson Gustavo Silveira Da Silva menewaskan penjaga gol, Kevin Mendoza.
Skuad kendalian Bojan Hodak berusaha untuk bangkit dengan memberi tekanan, sepakan percuma Akram Mahinan berjaya disambar Jordan Mintah namun penjaga gol, Farizal Marlias, menafikan percubaan itu.
JDT menggandakan jaringan menerusi Bergson yang mudah menewaskan Mendoza pada minit ke-25 yang menyempurnakan hantaran Corbin Ong.
Sejurus separuh masa kedua bermula, skuad bimbingan Bidoglio tidak menunggu lama untuk menambah derita KL City apabila sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti selepas Muhammad Anwar Ibrahim menjatuhkan Arif Aiman Hanapi.
Gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-54 dihasilkan Leandro Velazquez yang merembat bola kencang tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Mendoza.
Dua lagi jaringan yang disempurnakan Forestieri dan Safawi Rasid melengkapkan kemenangan 5-0 JDT sekaligus memastikan mereka mengukuhkan kedudukan di puncak liga.