Biarlah Cristiano Ronaldo pergi, kata Neville
Astro Arena
Ogos 5, 2022 12:04 MYT
Ogos 5, 2022 12:04 MYT
PINTU untuk Cristiano Ronaldo angkat kaki dari Manchester United sepatutnya terbentang luas, menurut bekas rakan sepasukannya, Gary Neville.
Spekulasi masa depan Ronaldo memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila tonggak berusia 37 tahun itu mahu meninggalkan Old Trafford demi mewarnai kancah Liga Juara-Juara (UCL).
Dia hanya terbabit dalam kempen pra-musim The Red Devils selama 45 minit apabila diletakkan dalam barisan utama ketika seri 1-1 dengan Rayo Vallecano, hujung minggu lalu. Dia dikeluarkan sebelum mereka menyambung perlawanan selepas rehat sambil pengurus, Erik ten Hag, melabel tindakannya meninggalkan stadium lebih awal sebagai sukar diterima.
Bekas pengurus Ajax itu pernah menyatakan Ronaldo adalah sebahagian daripada perancangannya menuju kempen pertamanya sebagai pengurus United, tetapi Neville -- yang percaya bekas penyerang Real Madrid dan Juventus tersebut akan mengubah nasib kelab lamanya menjadi pencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaik dia kembali tahun lalu -- berasakan ini adalah masa yang sesuai untuk kedua-dua pihak memutuskan hubungan.
Dia berkata dalam program Sky Sports 'The Overlap: "Ronaldo akan tersisih dalam senarai pemain terbaik sepanjang zaman di Manchester United atas apa yang berlaku pada musim panas ini, jasanya dalam tempoh 20 tahun akan dilupakan tetapi sebagai bekas ketua pasukan Manchester United dan pemain senior, ia tidak manis dan ia sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh seorang bintang di bilik persalinan.
"Anda tidak boleh membiarkan bintang utama anda yang lebih berkuasa.
"Saya sedar peminat mahu Ronaldo kekal tetapi jika dia mahu pergi, Manchester United harus memudahkannya."
Sementara itu, Jamie Carragher berasakan situasi seperti ini tidak dapat dielakkan.
Bekas pertahanan Liverpool itu berkata: "Saya sentiasa berasakan situasi ini lambat-laun akan berlaku juga. Walaupun Ronaldo melakukan yang terbaik selama setahun, dia menandatangani kontrak dua tahun dengan pilihan setahun lagi yang saya tidak percaya dia akan melanjutkannya memandangkan dia tidak akan diturunkan. Dia akan menjadi pilihan kedua.
“Ronaldo berusia 38 tahun musim ini, dia seorang penjaring gol yang hebat tetapi dia bukan lagi pemain yang sama.
"Tiada kelab lain di Eropah mahukan dia dan saya tidak pasti Ten Hag turut menginginkannya. Saya juga tidak pasti ketika ini adakah bilik persalinan memerlukannya." - Stadium Astro