Bermulanya era selepas Khabib, Charles Oliveira juara baharu lightweight UFC

Haider Yutim
Mei 16, 2021 13:54 MYT
Petarung Brazil, Charles Oliveira berjaya merangkul kejuaraan lightweight UFC selepas menewaskan Michael Chandler dari Amerika Syarikat. - Foto Instagram/@UFC
SELEPAS hampir tiga tahun dipegang oleh Khabib Nurmagomedov, gelaran lightweight UFC kini berpindah milik.
Petarung Brazil, Charles Oliveira berjaya merangkul kejuaraan kelas tersebut apabila menewaskan Michael Chandler dari Amerika Syarikat dalam aksi UFC 262, pada Ahad.
Pertarungan acara utama yang berlangsung di Houston, Texas itu menyaksikan Oliveira menumpaskan Chandler menerusi TKO (technical knockout) pada minit 0:19 pusingan kedua.
Kedua-dua petarung dilihat tidak membuang masa apabila masing-masing terus mencari peluang untuk menyudahkan perlawanan sebaik pusingan bermula.
Ia tidak mengambil masa yang lama untuk melihat Oliveira membuat percubaan pertamanya terhadap Chandler menerusi kuncian ‘rear naked choke’.
Percubaan itu bagaimanapun berjaya dimatikan oleh Chandler selepas dia berjaya melepaskan dirinya.
Selang beberapa minit selepas itu, Chandler pula mengambil peluang yang ada untuk mengenakan tumbukan ‘ground and pound’ terhadap Oliveira.
Namun, Oliveira yang seakan hampir dikalahkan, telah diselamatkan oleh hon penamat pusingan.
Sejurus memasuki pusingan kedua, Oliveira terus menerpa ke arah Chandler dan menghujani lawannya itu dengan beberapa siri tumbukan.
Chandler yang sudah rebah, terus diasak oleh Oliveira sehingga pengadil Dan Miragliotta mencelah untuk menghentikan perlawanan, sekali gus mengisytiharkan Oliveira sebagai pemenang dan juara baharu kelas lightweight UFC.
Ini merupakan kejuaraan pertama yang diraih Oliveira selepas 11 tahun beraksi dalam UFC.
Dengan keputusan terbaharu ini, Oliveira kini memegang rekod profesional MMA sebanyak 31 kemenangan dengan lapan kekalahan (31 - 8).
Sebagai rekod, gelaran lightweight UFC telah dikosongkan secara rasminya pada 29 Mac lalu, selepas Presiden UFC Dana White akhirnya menerima keputusan Khabib untuk bersara.
Tidak lama selepas itu, UFC kemudiannya menetapkan pertarungan ‘Oliveira vs Chandler’ sebagai pertarungan bagi merebut kejuaraan divisyen tersebut.

Round 2 TKO! Charles Oliveira is the new UFC lightweight world champion! #UFC262 pic.twitter.com/nfbYFtd6WH

— Haider Yutim (@hyder_yutim) May 16, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Charles Oliveira #Khabib Nurmagomedov #UFC #UFC 262 #Michael Chandler #lightweight #Dana White #MMA #Mixed Martial Arts
;