Berlatih tendangan 4,200 kali seminggu, rutin seorang juara dunia Muay Thai

Haider Yutim
Disember 11, 2018 07:00 MYT
Setiap kali berlatih dan menamatkan sesi latihan yang menjerihkan, Panpanyak (kiri) akan melakukan 300 latihan lutut, 200 bangun tubi, 300 tendangan bertenaga dan enam minit pusingan tolak dan tendang pada karung tinju. - Foto ONE Championship
PANPANYAK 'The Angel Warrior' Jitmuangnon yang berasal dari Thailand membuat kemunculan sensasi pada perlawanan pertamanya di ONE Championship dengan mendominasi lawan, Rui Botelho dengan keputusan sebulat suara pada perlawanan utama di ONE: Destiny Of Champions.
Juara dunia berturut-turut Muay Thai di Rajadamnern Stadium dan Lumpinee, Thailand itu merupakan satu-satunya atlet dalam sejarah sukan yang memenangi Anugerah 'The Sports Writers Association of Thailand’s Fighter of the Year' – anugerah paling berprestij dalam Muay Thai selama tiga tahun berturut-turut daripada 2013 hingga 2015.
Mari kita lihat rutin latihan yang menjadikan Panpayak juara dunia berturut-turut.
1. Beliau berlatih tujuh hari seminggu
Sekiranya dia bakal menghadapi pertarungan, maka latihan setiap hari adalah satu kemestian baginya.
Beliau akan berlatih dua kali sehari selama tiga hingga empat jam untuk satu sesi dari Ahad hingga Sabtu. Ia bersamaan dengan latihan selama 43 hingga 56 jam seminggu tanpa sebarang cuti.
Malah, umum mengetahui bahawa latihan di Jitmuangnon Gym adalah antara yang paling sukar di Thailand.
2. Berlari 5 batu sehari
Sebelum terbit matahari pagi, Panpayak sudah memulakan larian paginya.
Malah, sebelum memulakan latihan pertamanya, beliau perlu menghabiskan larian sebanyak 5 batu.
Selepas berehat dan mengumpul tenaga, beliau akan memulakan sesi tengah hari dengan melakukan latihan skip selama 30 minit menggunakan tali loncatan yang diletakkan pemberat.
3. Latihan tendangan 4,200 kali seminggu
Panpayak pernah menyatakan bahawa tendangan kiri beliau adalah sempurna dan ada sebab kenapa ianya begitu.
Setiap kali berlatih dan menamatkan sesi latihan yang menjerihkan, Panpanyak akan melakukan 300 latihan lutut, 200 bangun tubi, 300 tendangan bertenaga dan enam minit pusingan tolak dan tendang pada karung tinju.
Beliau berlatih dua kali sehari, tujuh kali seminggu. Jumlah latihan tendangan sahaja mencecah 4,200 kali seminggu, maka, tidak hairanlah jika tendangan kiri beliau sangat sempurna.
#Destiny Of Champions #Jitmuangnon Gym #juara dunia #Lumpinee #ONE Championship #Panpanyak Jitmuangnon #Rajadamnern Stadium #Rui Botelho #Thailand #The Angel Warrior
;