Berlatih sebulan bukan penghalang raih pingat

Astro Arena
Jun 12, 2015 00:00 MYT
Barisan yang dibarisi Siti Fatima Mohamad/Zaidatul Husniah Zulkifli/Komalam Shally Selvaretnam/Noor Amira Mohamad Nafiah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 45.41 saat. - Foto Astro Arena
Walaupun sekadar meraih gangsa pada temasya Sukan SEA 2015, kejayaan barisan kuartet wanita negara perlu diberi pujian kerana mereka hanya diberi masa sebulan untuk membuat persiapan sebelum berangkat ke Singapura.
Barisan yang dibarisi Siti Fatima Mohamad/Zaidatul Husniah Zulkifli/Komalam Shally Selvaretnam/Noor Amira Mohamad Nafiah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 45.41 saat pada aksi di Stadium Nasional hari ini.
Pingat emas menjadi milik kuartet Thailand (Thipat Supawan/Pakdee Khanrutai/Jaksuninkorn Phatsorn/Wannakit Tassaporn) selepas membuat catatan terpantas 44.27 saat.
Manakala pingat perak milik pelari Vietnam (Ha Thi Thu/Luu Kim Phung/Tran Thi Yen Hoa/Do Thi Quye) dengan catatan masa 44.77s.
Pelari pertama Fatima berkata mereka hanya mengambil masa sebulan untuk melakukan persiapan dan tidak menyangka dapat meraih pingat.
"Saya rasa amat gembira dengan kejayaan hari ini dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana memberi peluang kepada kami untuk beraksi di sini," katanya.
Sementara itu pelari ketiga Komala menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kejayaan bersama hasil semangat berpasukan tinggi dalam setiap diri pelari.
"Kami bukan hanya berlatih secara bersama-sama malah turut makan pun bersama. Itu adalah kunci kepada kejayaan kami hari ini," katanya.
Kali terakhir kuartet 4x100m negara meraih pingat gangsa ialah pada edisi Sukan SEA Korat, Thailand 2007.
#olahraga #Singapura #Sukan SEA
;