Berlarilah bebas tanpa tekanan di Paris, Azeem - Watson Nyambek
Bernama
Julai 15, 2024 23:38 MYT
Julai 15, 2024 23:38 MYT
KUALA LUMPUR: Penantian selama 24 tahun untuk melihat kelibat pelari pecut Malaysia dalam acara 100 meter (m) lelaki pada Sukan Olimpik akan berakhir dengan penampilan jaguh negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dalam temasya itu di Paris bermula bulan ini.
Pelari pecut legenda negara Watson Nyambek yang merupakan individu terakhir menggalas cabaran negara dalam acara berkenaan pada edisi Sydney 2000, melihat penantian itu mampu berakhir dengan sesuatu yang positif.
Namun, "The Flying Dayak" berkata Muhammad Azeem perlu dianggap underdog atau bukan pilihan dan berlari bebas tanpa tekanan semasa di Paris, selain meminta pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu menggunakan peluang terbabit dengan sebaiknya untuk menimba pengalaman.
"Pengalaman itu cukup berharga, kita anggap dia (Muhammad Azeem) sebagai underdog, biar tiada tekanan untuk dia, biar dia berasa bebas berlari tanpa tekanan, itu sudah cukup.
"Sebab kalau dia berfikir dia bukan underdog, (tapi) favourite, dia membebankan dirinya ... kita datang ke sana (Olimpik) pun seperti budak baru lahir.
"Masuk ke zon Olimpik dia akan tengok macam mana atlet dunia bertanding, banyak dia perlu belajar, contoh dari segi warm up lain, jadi dia mesti ambil peluang itu untuk belajar," kata Watson dalam temu bual khas bersama Bernama di Stadium Miri, Sarawak baru-baru ini.
Sukan Olimpik Paris dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.
Watson merupakan atlet yang membuat dua penampilan di Olimpik dalam acara sama termasuk edisi Atlanta 1996 sementara seorang lagi bekas jaguh pecut negara dan Asia Tenggara Nazmizan Muhammad hanya membuat kemunculan dalam acara 200m pada edisi 2004 Athens.
Pemenang pingat perak 100m Kejohanan Olahraga Asia 1998 di Fukuoka, Jepun itu mengakui tekanan berat yang dihadapi dalam dua penampilan di Olimpik, sekali gus enggan perkara sama dilalui Muhammad Azeem.
"Betul, memang kita berasa tertekan sebab harapan untuk kita berlari buat negara bukan ringan, kita yang memikul beban itu, bila kita pakai baju Malaysia memang rasa beban itu ada.
"Jadi kita harus berfikir, kalau orang dah beri harapan kita kena buat yang terbaik," kata Watson.
Awal bulan ini, Muhammad Azeem dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk mengisi slot wildcard di Paris 2024, sekali gus menyaksikan pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu bakal membuat debut Olimpiknya.
Watson antara individu yang gembira dengan perkhabaran itu dan optimis dengan kebolehan yang dimiliki atlet kelahiran Perak berusia 20 tahun itu.
"Saya berasa gembira sangat sebab ada atlet pecut yang mewakili Malaysia dalam acara 100m (lelaki) selepas saya ... gunakanlah peluang ini untuk membuat catatan terbaik.
"Sekarang dia (layak atas tiket) wildcard, kalau dia pergi Olimpik dan mengatasi masa kelayakan (kelayakan Olimpik 10s) itu dah cukup bangga," kata Watson sambil menyifatkan Muhammad Azeem atlet yang istimewa kerana memiliki ketinggian yang boleh menandingi atlet bertaraf dunia.
Watson pernah memegang rekod kebangsaan 10.30s selama 18 tahun sebelum atlet pecut Melaka, Khairul Hafiz Jantan meleburkan catatan itu dengan melakar 10.18s ketika meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada 2016.
Watson, 48, kini terus menabur bakti dalam pembangunan bakat setempat sebagai jurulatih sepenuh masa kontrak Majlis Sukan Negeri Sarawak.
-- BERNAMA