Berita Michael Schumacher kembali berjalan tidak benar
Astro Arena
Disember 23, 2015 14:00 MYT
Disember 23, 2015 14:00 MYT
LAPORAN yang mengatakan Michael Schumacher sudah kembali berjalan dilabel sebagai tidak bertanggungjawab oleh pengurus pemandu legenda Formula Satu (F1) itu.
Pengurus Schumacher, Sabine Kehm berkata dakwaan bekas juara F1 tujuh kali itu tidak benar sekali gus sebagai memberi harapan palsu kepada peminatnya.
Pemandu kelahiran Jerman itu ditimpa kecederaan serius selepas kepalanya terhantuk di batu ketika sedang meluncur ski di sebuah resort di Perancis dua tahun lalu.
Schumacher kemudian dibenarkan menjalani rawatan di rumah pada September lalu, dan majalah Jerman, Bunte minggu ini menyiarkan laporan mengatakan pemandu berusia 46 tahun itu sudah boleh berjalan dan mengangkat tinggi tangannya.
Majalah itu juga mendakwa telah berjumpa dengan Schumacher, sambil berkata Schumacher itu begitu kurus, tetapi boleh berjalan dengan bantuan ahli terapinya.
"Malangnya, kami terpaksa terpaksa menjelaskan bahawa dakwaan Michael kembali berjalan tidak benar.
"Spekulasi ini tidak bertanggungjawab kerana dengan kecederaan serius, ketenangan adalah penting buat Michael.
"Malangnya mereka juga memberi harapan palsu kepada ramai pihak," tegas Kehm.