KUALA LUMPUR: Penyerang prolifik Johor Darul Ta'zim (JDT) Bergson Da Silva sekali lagi menarik perhatian apabila meledak hatrik ketiganya musim ini ketika membantu skuad Harimau Selatan membenam Kelantan Darul Naim FC 6-1 pada aksi Liga Super 2024/2025, Ahad malam.

Pada pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru, sentuhan pemusnah Bergson bermula lewat di separuh masa pertama, namun penyerang berasal dari Brazil itu menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas membuka tirai jaringan pasukan pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, giliran pemain sayap sensasi Arif Aiman Mohd Hanapi mencuri tumpuan selepas meledak gol ketiga dan keempat JDT masing-masing pada minit ke-56 dan ke-58 sebelum pasukan lawan menjaringkan gol sagu hati menerusi Layth Khoroub pada minit ke-65.

Berbaki 20 minit permainan, Bergson melengkapkan hatriknya pada minit ke-71 diikuti gol keenam JDT berpunca jaringan sendiri pemain pertahanan Muhammad Umeir Aznan pada minit ke-75.

Aksi hari ini menyaksikan Kelantan Darul Naim selaku tuan rumah, namun menggunakan gelanggang rasmi JDT berikutan Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu dilaporkan masih dalam proses naik taraf sehingga pertengahan bulan depan.

Personaliti YouTube dari Amerika Syarikat IShowSpeed atau nama sebenarnya Darren Jason Watkins Jr turut dilihat berada di Stadium Sultan Ibrahim semasa perlawanan itu berlangsung.

JDT bimbingan Hector Bidoglio kini menerajui takhta liga dengan mengumpul 28 mata selepas 10 perlawanan, enam mata di depan pencabar terdekat Selangor FC di tangga kedua sementara Terengganu FC ketiga dengan meraih 16 mata.

Sementara itu, hasrat Penang FC untuk mencatat kemenangan kedua di laman sendiri tidak kesampaian apabila terikat 2-2 menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Bandaraya, Georgetown.

Pada pertembungan itu, skuad Harimau Kumbang yang belum 'panas' dikejutkan dengan gol pembukaan NSFC menerusi jaringan Muhammad Hadin Azman seawal minit pertama.

Penang kemudian berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-14 hasil penyudah penyerang import Rodrigo Dias sebelum gandingannya Dylan Wenzel-Halls meletakkan skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu di depan dua minit berselang.

Namun, kegembiraan pasukan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pemain import baharu NSFC Sebastian Avanzini meledak gol penyamaan pada lewat separuh masa pertama sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati meraih satu mata.

-- BERNAMA