Bergson, Hidalgo boleh dinaturalisasikan - Tunku Mahkota Ismail

Bernama
Disember 9, 2024 23:30 MYT
Da Silva, dilabel sebagai 'mesin gol' JDT sementara Hidalgo yang berasal dari Argentina mula beraksi di Malaysia sejak menyertai Sri Pahang pada 2021. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail berpandangan penyerang prolifik mereka Bergson Da Silva boleh dinaturalisasikan bagi memperkuat pasukan bola sepak negara yang kini berdepan tugas berat untuk memburu tempat ke Piala Asia 2027.
Pemangku Sultan Johor itu turut berpandangan pemain sayap JDT yang kini dipinjamkan ke Sri Pahang FC, Manuel Hidalgo, juga boleh menyertai Da Silva dalam skuad Harimau Malaya.
"Sistem atau falsafah yang sesuai dengan pemain sedia ada perlu diterapkan. Lebih kompak, menyerang dan bertahan sebagai satu unit. Disiplin adalah kunci utama. Insya-Allah boleh. Bergson (Da Silva) boleh dinaturalisasikan sebagai langkah jangka pendek selepas melengkapkan tempoh lima tahun di Malaysia manakala Hidalgo pula untuk jangka masa panjang, selain pemain-pemain lain yang ada. Pemain JDT semuanya sudah bersedia.
"Jurulatih baharu (pasukan kebangsaan) dan pengarah sukan kini sedang mengumpul data pemain Malaysia dalam Liga Super dan pemain yang berada di luar negara. Ia bukan tugas mudah dan memerlukan masa tetapi perlu dimulakan sekarang, termasuk membangunkan rangka kerja untuk jangka masa panjang. Semoga berjaya,"* kata Tunku Mahkota Ismail menerusi ciapan di laman X pada Isnin.

System/falsafah yang sesuai dengan players yang ada. Be more compact, attack and defend as a unit. Discipline is the key, InshaAllah boleh. Bergson can be naturalised as a short-term measure after completing 5 years in Malaysia, Hidalgo too for the long-term, and with players https://t.co/BFT8TmpRqn

— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) December 9, 2024
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ciapan tersebut sebagai membalas ciapan seorang pengguna yang memuat naik keputusan penuh undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia diundi bersama Vietnam, Nepal dan Laos dalam Kumpulan F, dengan hanya juara kumpulan akan mara ke pusingan akhir yang dijadualkan berlangsung di Arab Saudi.
Da Silva, penyerang kelahiran Brazil berusia 33 tahun dilabel sebagai 'mesin gol' JDT selepas merekodkan lebih 120 gol dalam semua pertandingan sejak menyertai skuad Harimau Selatan pada tahun 2021.
Sementara itu, Hidalgo, 25, yang berasal dari Argentina mula beraksi di Malaysia sejak menyertai Sri Pahang pada 2021.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka akan mengumumkan struktur baharu skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat termasuk pelantikan ketua jurulatih dan pengarah sukan yang baharu.
-- BERNAMA
#bola sepak #JDT #ketua jurulatih #harimau Malaya
;