Bergelar suami, Tan Wee Kiong menempuh cabaran baharu

Astro Awani
Oktober 15, 2016 22:38 MYT
Tiada yang lebih manis buat Wee Kiong apabila mengesahkan perkahwinan kepada buah hatinya, Chia Shi Leng, Rabu lalu.- Foto Instagram - @weekiongvshem_
JAGUH beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong terus disuntik inspirasi mendukung misi emas Olimpik Tokyo 2020 di sebalik tahun menakjubkan 2016 termasuk peranan baru, bergelar seorang suami.
Tahun 2016 bermula mencabar buat Wee Kiong dan gandingannya Goh V Shem bersaing hangat dengan beregu profesional, Tan Boon Heong dan Koo Kien Keat merebut tiket ke Olimpik Rio.
Peluang layak ke pentas Olimpik tidak dipersiakan Wee Kiong apabila mengulangi pencapaian beregu legenda negara, Yap Kim Hock dan Cheah Soon Kit mara ke pentas final.
Disebalik gemilang sanjungan dan limpahan insentif, tiada yang lebih manis buat Wee Kiong apabila mengesahkan perkahwinan kepada buah hatinya, Chia Shi Leng, Rabu lalu.
"Tahun yang mencabar dan juga mengagumkan sehingga saya rasa seperti tidak percaya dengan apa yang saya lalui tahun ini. Tetapi, saya harus mempertingkatkan lagi prestasi kerana selaku pemain professional, banyak yang perlu dijaga terutamanya sikap, latihan, penyusunan jadual, semuanya perlu diuruskan secara professional.
"Seperti Datuk Lee Chong Wei, pemain Indonesia, Mohammad Ahsan, pemain Korea Selatan, Yoo Yeon Seong, di mana mereka telah berkahwin dan mempunyai anak, tetapi tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kecemerlangan," kata wee kiong
Kemahuan Wee Kiong untuk kekalkan keghairahan terhadap badminton terbukti dengan keputusan untuk menangguhkan majlis resepsi.
Pemain beregu campuran nombor satu negara, Chan Peng Soon turut memahami keperluan itu yang dianggapnya sebagai pengorbanan bagi seorang atlet elit.
"Tidak mempunyai pilihan, pertama sekali badminton merupakan kerjaya saya, keluarga juga penting untuk saya, selalunya tiada masalah. Tetapi jika keluarga saya mempunyai masalah, saya akan mendahulukan keluarga seperti lepas menjalani latihan, saya akan bersama mereka dan mengorbankan perkara-perkara lain.
"Walupun kadang-kadang saya terlalu sibuk, makan malam bersama mereka merupakan perkara wajib untuk saya," ujar Peng Soon.
Wee Kiong dan Peng Soon akan meneruskan cabaran di Eropah selepas ini bermula dengan Siri Super Premier Terbuka Denmark minggu depan.
#badminton #bergelar suami #Goh V Shem-Tan Wee Kiong #Olimpik Rio #Rio 2016 #Tan Wee Kiong
;