Beregu campuran negara Hon Jian-Ee Wei juarai terbuka Austria

Bernama
Mei 30, 2021 05:02 MYT
Hon Jian-Ee Wei berjaya merangkul kemenangan ketiga mereka tahun ini setelah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Austria. -Gambar fail
GRAZ: Beregu campuran badminton negara Choong Hon Jian-Toh Ee Wei berjaya merangkul kemenangan ketiga mereka tahun ini setelah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Austria yang berlangsung di Raiffeisen Sportpark di Graz, malam tadi.
Sebelum ini, pasangan muda itu menjuarai Kejohanan Terbuka Poland pada Mac sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan menjuarai Kejohanan Antarabangsa Slovenia 2021, minggu lepas.
Hon Jian-Ee Wei menewaskan pilihan pertama kejohanan pasangan William Villeger-Sharone Bauer dari Perancis dalam aksi final setelah mencatat kemenangan 16-21, 21-9, 21-19 dalam tempoh 46 minit.
Pasangan beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri juga menceriakan skuad badminton negara apabila berjaya membawa pulang pingat emas dengan mengalahkan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis dengan keputusan 21-17, 21-15 pada aksi final.
Bagaimanapun, beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Yap Cheng Wen tewas 11-21, 16-21 kepada pasangan Indonesia Ni Ketut Mahadewi Istarani-Serena Kani.
-- BERNAMA
#Choong Hon Jian #toh ee wei #Kejohanan Badminton Terbuka Austria #Raiffeisen Sportpark #badminton #William Villeger #Sharone Bauer
;