Berdepan Papua New Guinea: Keselamatan skuad negara dijamin - Hamidin
Astro Arena
Jun 12, 2016 21:41 MYT
Jun 12, 2016 21:41 MYT
SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi jaminan terhadap keselamatan skuad bola sepak negara dalam aksi persahabatan pertama jelajah Oceania di Papua New Guinea, 17 Jun ini.
Ekoran kemelut politik yang melanda Papua New Guinea dan demonstrasi terbaru pelajar universiti terhadap kerajaan baru-baru ini mencetus tanda tanya adakah selamat untuk aksi persahabatan pertama skuad negara di sana.
Bagaimanapun pengesahan dari Hamidin, sekurang kurangnya mampu menarik nafas lega apabila pihak Persatuan Bola Sepak Papua New Guinea sendiri memberi jaminan aksi persahabatan yang telah dijadualkan bakal berlangsung tanpa sebarang kekecohan.
"Pegawai keselamatan kita ada menghubungi wakil di sana, kita juga menghubungi FA Papua New Guinea dan mereka janji tentang keselamatan kami. Tidak perlu risau.
"Kami akan memantau keadaan ini. Kejadian itu berlaku tiga, empat hari lepas dan menurut laporan keadaannya kembali reda," katanya.
Bagaimanapun perkembangan dari masa ke semasa akan terus dipantau dan pertukaran jadual akan dibuat drastik sekiranya keadaan tidak mengizinkan dalam tempoh lima hari sebelum skuad negara berangkat ke Papua New Guinea.
"Datuk Ong Kim Swee dan pegawai keselamatan ada menghungi saya dari Brisbane, Australia dan berbincang mengenai perkara itu. Kami akan pantau dari masa ke semasa," tambahnya.
Papua New Guinea menjadi destinasi pertama siri tiga aksi persahabatan jelajah Oceania yang berlangsung 17 Jun ini.
Pertemuan dengan New Caledonia menyusul pada 22 Jun, sebelum bertemu menentang Fiji pada 26 Jun ini.