Berbasikal trek: Boy tanam misi buru gelaran raja pecut negara
Bernama
Januari 23, 2025 08:30 MYT
Januari 23, 2025 08:30 MYT
NILAI: Atlet berbasikal trek negara Muhammad Ridwan Sahrom memasang impian untuk menjadi raja pecut berbasikal negara, selepas berhasil membuktikan prestasi cemerlang dalam acara pecut dalam Siri Dua dan Tiga Piala Presiden, di Velodrom Nasional di sini.
Muhammad Ridwan yang lebih mesra disapa 'Boy' itu berkata mahu mencipta kelainan dengan menjadikan acara itu sebagai acara kegemarannya, selain merasakan ia dilihat berpotensi menjadi tempat untuknya mencipta kejutan pada masa akan datang.
Pada aksi Siri Tiga Piala Presiden semalam, Boy merangkul pingat emas acara pecut elit lelaki meninggalkan pelumba Australia Sam Gallagher, manakala gangsa menjadi milik rakan sepasukannya Mohd Akmal Nazimi Jusena.
Lebih menggembirakan, beliau turut memperbaharui catatan peribadi miliknya apabila melakukan kayuhan 9.921 saat (s) pada pusingan kelayakan, yang sekali gus memberinya semangat baharu untuk memburu gelaran raja pecut tanah air.
"Saya mahu buat satu kelainan sebab kita ada pakar keirin seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
"Saya nak buat sesuatu yang berbeza. Saya nak fokus dekat pecut sebab saya rasa ini platform terbaik yang saya tengok ia bagus untuk saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas kejohanan di sini semalam.
Pada Siri Pertama, Boy sekadar meraih pingat gangsa bagi acara pecut, manakala Siri Kedua menyaksikan beliau menyambar emas.
-- BERNAMA