Berbasikal trek, badminton mampu jelmakan pingat emas pertama Malaysia di Olimpik

Bernama
Julai 11, 2024 16:46 MYT
Hamidin berkata ini berdasarkan prestasi semasa, selain pencapaian sukan berkenaan dalam beberapa kejohanan dan temasya Sukan Olimpik edisi sebelum ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin berpendapat sukan berbasikal trek atau badminton bakal menjadi penyumbang pingat emas pertama negara di temasya sukan berprestij itu.
Hamidin berkata ini berdasarkan prestasi semasa, selain pencapaian sukan berkenaan dalam beberapa kejohanan dan temasya Sukan Olimpik edisi sebelum ini.
Beliau berkata antara atlet yang berpotensi menghadirkan pingat emas sulung Malaysia itu adalah perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang.
"Jika ada atlet muda seperti di sukan renang, memanah dan terjun menghadirkan pingat lain, ia bagus untuk masa depan mereka, Olimpik seterusnya, dan satu bonus buat kontinjen negara, kita letak dulu sasaran satu pingat emas sebagai permulaan.
"Sasaran yang diutarakan menteri, kita perlu berusaha untuk dapatkannya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yasin serta Solat Hajat untuk Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
Selasa lepas Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal dengan sasaran hanya satu pingat emas pada temasya sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam pada itu, Hamidin menyeru atlet yang membuat penampilan pertama, terutamanya bagi mereka yang beraksi menerusi tiket 'wildcard' di temasya sukan empat tahun sekali itu untuk sekurang-kurangnya memperbaharui rekod peribadi masing-masing.
Beliau turut mengingatkan agar kesemua atlet supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan diri sepanjang membuat persediaan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
-- BERNAMA
#pingat emas #Olimpik #Malaysia #Berbasikal Trek #badminton
;