Berbasikal trek: Azizulhasni tidak tergugat ranking dunia jatuh
Astro Arena
Mei 17, 2020 08:49 MYT
Mei 17, 2020 08:49 MYT
JAGUH berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, akhirnya terpaksa melepaskan ranking pertama berbasikal dunia dalam acara keirin.
Selepas empat bulan mendominasi kedudukan keirin, kini berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), kedudukan Azizulhasni tergelincir di tangga kedua dengan 2710 mata manakala dengan kelebihan 175 mata, Harrie Lavreysen dari Belanda kini memimpin ranking acara berkenaan.
Namun, perkembangan itu tidak menjejaskan misinya untuk memburu pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik Tokyo 2021.
"Sebenarnya saya sudah menjangkakan akan dia merampas ranking utama dunia daripada saya selepas kejuaraan yang diraihnya dalam Kejohanan Dunia.
"Kejohanan itu menawarkan mata sebanyak dua kali ganda dan dalam masa sama, dia adalah juara benua.
"Jadi kombinasi ini memberi kelebihan kepadanya untuk merampasnya daripada saya," katanya dalam temu bual maya bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.
Atlet kelahiran Terengganu itu menganggap semua pelumba memiliki peluang untuk mencabar emas, lantas mendorongnya untuk membuat kerja rumah bagi mengkaji kekuatan lawan.
"Jelas sekali dia adalah ancaman utama dalam Sukan Olimpik kelak.
"Bagaimanapun, saya tidak menutup mata (terhadap keupayaan) pelumba-pelumba lain seperti Great Britain (GB), Jerman, Australia dan Jepun.
"Saya masih melakukan analisis (prestasi) ke atas pelumba-pelumba yang telah layak tetapi sudah tentulah tumpuan khusus akan diberikan kepada Lavreysen."
#atlet
#Azizulhasni Awang
#basikal
#basikal trek
#Belanda
#Harrie Lavreysen
#keirin
#kerja rumah
#Kesatuan Berbasikal Antarabangsa
#Olimpik Tokyo
#pelumba
#ranking
#Sukan Olimpik
#tangga kedua
#UCI