Beraksi di saingan akhir pada Sukan Asia sulung jadi impian Hoe Yean

Bernama
September 18, 2023 14:40 MYT
Hoe Yean berkata berpeluang mara ke final bagi acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki diibaratkan seperti impian menjadi kenyataan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Jaguh renang negara Khiew Hoe Yean menyasarkan untuk beraksi sekurang-kurangnya pada saingan akhir Sukan Asia sulungnya di Hangzhou, China.
Sambil mengakui hakikat bahawa usaha mendapatkan pingat pada temasya itu akan menjadi tugas yang sukar buatnya, Hoe Yean berkata berpeluang mara ke final bagi acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki diibaratkan seperti impian menjadi kenyataan.
"Saya ingin ke sana dan cuba menimba pengalaman di Hangzhou. Saya tahu Sukan Asia berlangsung empat tahun sekali dan pastinya lebih besar daripada Sukan SEA.
"Saya harap dapat meningkatkan prestasi di sana. Walaupun bukan mudah (untuk mara ke perlawanan akhir) tetapi saya akan cuba," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Selain 400m gaya bebas lelaki, perenang berusia 21 tahun itu juga dijadualkan beraksi pada acara 200m gaya bebas lelaki di Hangzhou.
Sementara itu, Hoe Yean juga berhasrat untuk bersaing dengan jaguh Korea Selatan, Kim Woo-min dan musuh Asia Tenggaranya Nguyen Huy Hoang dari Vietnam sekiranya bertemu di temasya Sukan Asia itu.
Julai lepas, Woo-min menjadi perenang tunggal Asia dan menduduki tempat kelima dalam acara 400m gaya bebas lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia 2023 di Fukuoka, Jepun.
Huy Hoang pula merupakan pemenang pingat emas Sukan SEA bagi acara 400m gaya bebas lelaki sebanyak tiga kali iaitu pada 2019, 2021 dan 2023.
Dalam pada itu, pemegang rekod kebangsaan 400m gaya bebas lelaki itu mengakui pusingan terakhir persiapannya menjelang Sukan Asia nanti agak sukar setakat ini.
Juara Sukan SEA 2023 acara 200m gaya bebas lelaki itu berkata beliau masih mencari jalan untuk kembali ke bentuk latihannya selepas pulang daripada dua kejohanan berturut-turut - Kejohanan Akuatik Dunia 2023 diikuti Sukan Universiti Dunia ke-31 - bulan lepas.
Sukan Asia Hangzhou 2022 dijadualkan berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini.
-- BERNAMA
#perenang negara #Sukan Asia Hangzhou #Khiew Hoe Yean #mara ke final
;