Benzina muncul pemain pertama berhijab pada Piala Dunia Wanita FIFA
Bernama
Julai 31, 2023 22:17 MYT
Julai 31, 2023 22:17 MYT
ANKARA: Pemain pertahanan Morocco, Nouhaila Benzina, melakar sejarah baharu apabila menjadi pemain bola sepak pertama yang memakai hijab dalam perlawanan Piala Dunia Wanita FIFA pada Ahad.
Benzina, 25, membuat penampilannya ketika Morocco dengan jolokan Atlas Lionesses membenam cabaran Korea Selatan 1-0 dalam perlawanan Kumpulan H di Adelaide Australia, dengan memakai hijab berwarna putih, lapor Agensi Anadolu.
Jaringan awal penyerang Morocco Ibtissam Jraidi sudah cukup memberikan kemenangan untuk negaranya.
Morocco membuat penampilan sulung pada Piala Dunia Wanita 2023,anjuran bersama Australia dan New Zealand.
Benzina adalah pemain gantian yang tidak digunakan semasa perlawanan pembukaan Morocco yang tumpas 6-0 di tangan Jerman pada 24 Julai di Melbourne.
Dalam mesyuarat Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) pada 2014, badan induk bola sepak dunia FIFA membenarkan pemain Islam memakai hijab semasa perlawanan.
-- BERNAMA