Benzema tuntut penjelasan mengapa dia terus dipinggirkan Perancis
Astro Arena
Mac 24, 2017 14:38 MYT
Mac 24, 2017 14:38 MYT
KARIM BENZEMA masih menanti penjelasan daripada Didier Deschamps kerana terus terpinggir daripada skuad Perancis dan mahu menjernihkan situasi dengan jurulatih itu selepas mendakwa keputusan untuk tidak menyenaraikannya dalam Euro 2016 didorong oleh sifat perkauman.
Benzema belum dipilih untuk pasukan kebangsaan sejak disiasat polis berhubung dakwaan cuba memeras ugut rakan sepasukannya, Mathieu Valbuena, di mana kes itu masih belum dibawa ke mahkamah.
Sebagai akibatnya, penyerang Real Madrid itu terlepas Kejohanan Eropah tahun lalu di tempat sendiri, dengan menyatakan Deschamps telah "tunduk kepada tekanan perkauman di Perancis".
Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), Noel Le Graet, Februari lalu, mengumumkan ketua jurulatih itu bebas untuk memanggil semula bekas penyerang Lyon itu, tetapi Benzema -- yang terus menafikan sebarang salah laku -- masih tidak dipilih untuk perlawanan antarabangsa bulan ini.
"Sudah satu setengah tahun sejak saya tidak lagi dipanggil skuad Perancis, saya rasa ia sesuatu yang buruk kerana saya cintakan bola sepak," kata Benzema kepada RMC.
"Walaupun ada yang mendakwa bahawa saya tidak sayangkan pasukan Perancis, saya pasti akan memberitahu jurulatih."
"Saya berasa ia tidak adil kerana saya tidak diberitahu apa-apa," katanya berkenaan penyisihannya.
"Tetapi saya perlu dimaklumkan jika mereka tidak memilih saya seandainya ia adalah kerana faktor bola sepak. Jika kita bercakap bukan tentang sukan, (kejadian) saya dengan Valbuena, buat masa ini, saya tidak bersalah."
Benzema mendedahkan sebelum berita penggantungannya dalam skuad kebangsaan tersebar, dia dan kapten yang memenangi Piala Dunia 1998 itu sempat berbincang.
"Kali terakhir saya menghubungi jurulatih menerusi telefon, ia berjalan lancar sebelum Euro, iaitu sebelum aksi separuh akhir atau final Liga Juara-Juara," katanya.
"Dia memberitahu bahawa dia tidak akan menjemput saya. Sejak hari itu, tidak ada sebarang perhubungan.
"Deschamps memberitahu saya, 'Karim, saya akan memberitahu anda sesuatu yang tidak akan menggembirakan anda, saya tidak memilih anda.'
"Saya tidak perlu apa-apa penjelasan yang lain pada ketika itu, jadi saya memotong talian itu. Tetapi hari ini dengan pengalaman yang lalu, saya mahu dia menjelaskan situasi terkini. Soalan ini saya bertanya kepada diri sendiri setiap hari.
"Saya berasa kes ini telah menjadi terlalu besar, semua orang telah campur tangan. Ia terlalu besar. Saya menuntut penjelasan.
"Saya tidak akan berputus asa. Jika sesetengah orang fikir saya akan berputus asa, mereka silap. Ini adalah bola sepak, anda bermain untuk penyokong, keluarga, negara anda dan untuk menang."
Benzema turut mempertahankan kenyataan kontroversinya mengenai motif di sebalik pengecualiannya daripada skuad, dengan menegaskan dia tidak berniat ke tahap menyalahkan jurulatih atau presiden FFF itu.
"Saya tidak kesal mengenai kenyataan itu, ia benar," katanya.
"Ini adalah jelas. Jurulatih mungkin telah salah faham tetapi dalam kes ini, saya tidak mengatakan bahawa dia adalah bersifat perkauman. Baik dia mahupun Le Graet. Saya tidak pernah terlintas mengenainya.
"Ini adalah cerita yang bercelaru. Jika mereka kesal dengannya, maka mereka boleh bertanya,'Karim, apakah makna kata-kata itu?'
"Saya tahu bahawa akan sentiasa ada kontroversi. Masalahnya ia menyakitkan saya kerana mereka adalah orang yang saya hargai. Kami mesti mencapai persefahaman."