Benzema terlepas perlawanan Real Madrid-Villarreal
Astro Arena
November 21, 2020 10:40 MYT
November 21, 2020 10:40 MYT
KARIM Benzema akan terlepas perlawanan Real Madrid menentang Villarreal dalam LaLiga malam ini selepas mengalami kecederaan berpanjangan ketika bertemu Valencia dua minggu lalu.
Pemain berusia 32 tahun itu terpaksa dikeluarkan pada minit ke-76 -- ketika pasukannya tewas 1-4 di Mestalla -- kerana mengalami kesakitan di otot adductor kirinya.
Dia menjalani latihan ringan bersama pasukan itu semalam tetapi Zinedine Zidane, yang turut perlu mengambil kira pertemuan pasukannya dengan Inter Milan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) Rabu ini, tidak menamakannya dalam senarai pemain yang akan turun beraksi malam ini.
Benzema merupakan penjaring terbanyak Madrid musim ini dengan menjaringkan empat gol daripada lapan perlawanan. Dia turut menghasilkan tiga bantuan jaringan, rekod sama dilakukan Rodrygo dan lebih banyak berbanding kebanyakan pemain Los Blancos lain.
Luka Jovic turut terlepas perlawanan itu gara-gara dikesan postif COVID-19 selepas pulang daripada mewakili Serbia dalam aksi antarabangsa manakala Casemiro and Eder Militao -- yang perlu menjalani pengasingan kendiri selepas positif koronavirus dalam waktu rehat antarabangsa -- turut tidak dapat diturunkan.
Sergio Ramos terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan paha ketika Sepanyol membelasah Jerman 6-0 dan kapten Madrid itu dijangka perlu berehat sekurang-kurangnya selama 10 hari.
Terdapat berita baik mengenai Eden Hazard di mana penyerang itu tersenarai sebagai sebahagian 20 pemain yang akan ke Villarreal selepas diuji positif COVID-19 sebelum kekalahan pasukannya kepada Valencia.
Madrid kini berada di tangga keempat LaLiga dengan empat mata di belakang pendahulu, Real Sociedad, yang sudah beraksi lebih satu perlawanan.
#Karim Benzema
#cedera
#Real Madrid
#LaLiga
#Villarreal
#kecederaan berpanjangan
#Valencia
#latihan ringan
#Zinedine Zidane
#UCL
#senarai pemain
#penjaring terbanyak
#sepanyol