Benda baik saya sokong - Zainal Abidin

Sinar Harian
November 6, 2019 12:19 MYT
ZAINAL: Sekiranya teknologi itu baik, kita harus ikut kerana ia boleh mengelakkan sebarang isu atau kontroversi, namun ia juga berkait dengan soal kemampuan bagi pelaksanaannya. - Gambar fail
KETUA jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan bersetuju dengan cadangan beberapa pihak untuk menggunakan teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia (Liga-M).
“Konsepnya mudah, benda yang baik saya sokong,” katanya ketika diminta mengulas isu berkenaan.
Beliau memberitahu, beberapa negara luar sudah mempraktikkan penggunaan teknologi tersebut bagi menambah baik saingan liga domestik masing-masing biarpun adakalanya ia mencetuskan perdebatan.
“Sekiranya teknologi itu baik, kita harus ikut kerana ia boleh mengelakkan sebarang isu atau kontroversi, namun ia juga berkait dengan soal kemampuan bagi pelaksanaannya.
“Bagaimanapun, untuk kebaikan bola sepak terutamanya dalam liga tempatan (Liga-M), apa salahnya kita juga mengguna pakai teknologi VAR,” katanya kepada Sinar Harian.
VIDEO: MFL perlu pertimbang penggunaan video bantuan pengadil (VAR)
Penggunaan teknologi VAR kembali hangat diperkatakan sejurus berakhirnya aksi final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.
Malah, penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal turut mencadangkan penggunaan teknologi itu susulan gol kontroversi penyerang JDT, Safawi Rasid.
BACA: Gol kedua Safawi Rasid dipersoal di Dewan Rakyat
Menerusi satu sepakan percuma yang cukup menarik, Safawi meledak gol kedua JDT pada minit ke-35, namun timbul pertikaian apabila bola sepakan Safawi itu dikatakan tidak melepasi garisan gol sepenuhnya.
Begitupun, pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin tetap mengesahkan jaringan tersebut selepas mendapat bantuan daripada penjaga garisan, Zulkarnain Zakaria.
BACA: Guna pengadil luar negara untuk perlawanan akhir - Mukhriz
Pertemuan antara Kedah dan Pahang pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan 26 Oktober lalu turut dipalit isu sama.
Jaringan menerusi sepakan percuma oleh Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-85 turut menimbulkan perdebatan apabila bola tersebut turut dikatakan tidak melepasi garisan gol sepenuhnya.
#bola sepak #gol kontroversi #JDT #Kedah #Liga Malaysia #Piala Malaysia #Safawi Rasid #sepakan percuma #teknologi VAR #VAR #video #Video Bantuan Pengadil #Zainal Abidin Hassan
;