Belum sampai semusim, Zirkzee mahu tinggalkan United
Sinar Harian
Oktober 23, 2024 13:40 MYT
Oktober 23, 2024 13:40 MYT
PENYERANG Manchester United, Joshua Zirkzee dilaporkan mahu meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan Januari ini.
Pemain antarabangsa Belanda itu menyertai United dengan nilai perpindahan 36.5 juta pound (RM205.6 juta) dari kelab Serie A, Bologna pada jendela perpindahan musim panas lalu.
Zirkzee telah menyumbang satu gol dalam 11 penampilan pada semua kejohanan musim ini dan dia hanya berada dalam kesebelasan utama Erik ten Hag sebanyak lima kali sahaja.
Pemain berusia 23 tahun itu telah gagal untuk menyerlah diOld Trafford, namun terdapat banyak kes pemain berpindah ke Liga Perdana Inggeris dan berdepan permulaan yang perlahan sebelum menyinar.
Bagaimanapun, Zirkzee mungkin tidak mahu bertahan di kelab itu dengan laman sesawang berita Itali, Calciomercato yang mendakwa penyerang United itu mahu kembali ke Itali.
Zirkzee bimbang Rasmus Hojlund akan lebih menjadi pilihan selepas pemain antarabangsa Denmark itu pulih daripada kecederaan yang dialami pada pra-musim.
Difahamkan Zirkzee mula menyesal dengan pilihan yang dibuatnya musim panas lalu, lebih mengutamakan Red Devils berbanding kelab Itali yang lain.
Laporan itu menambah bahawa United tidak mahu melepas Zirkzee namun terbuka untuk meminjamkan pemain itu ke beberapa pasukan di Itali seperti Juventus. -- Sinar Harian