Belum masa tuai pingat dua angka di Paris - MPM
Bernama
Mac 5, 2024 04:15 MYT
Mac 5, 2024 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berpendapat, kontinjen negara belum bersedia untuk menuai keseluruhan pingat mencecah dua angka pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 bermula Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shariman Zaharudin berkata, perkara itu sememangnya sukar tetapi adalah cabaran yang positif kepada MPM dan barisan kejurulatihan serta atlet.
Katanya, ketika ini MPM kekal mahu mencipta sejarah dengan menyasarkan empat emas untuk mencapai misi emas ke-10 Malaysia dalam sejarah penyertaan di temasya Paralimpik.
"Belum lagi (jumlah pingat dua angka) pada edisi kali ini, LA28 (Los Angeles 2028) mungkin. Tetapi ia merupakan satu cabaran yang baik untuk kami.
"Kami masih dengan empat emas (sasaran) untuk menjadikan emas ke10 (keseluruhan) buat kontinjen paralimpik...bagaimanapun kita akan maklumkan sasaran rasmi melalui menteri. Ketika ini kami mahu membakar semangat atlet," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPM dan Rakan Strategik TambahEmas Sukan Paralimpik Paris 2024 di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini, pada Selasa.
Sebagai rekod, kontinjen negara memenangi tiga emas masing-masing pada edisi Rio 2016 dan Tokyo 2020.
Pencapaian terbaik Malaysia pula adalah pada edisi Tokyo 2020 selepas membawa pulang keseluruhan lima pingat masing-masing tiga emas dan dua perak.
Dalam pada itu, beliau berkata, Malaysia sudah mengesahkan sembilan slot di Paris selepas olahraga dan renang masing-masing menerima dua slot manakala dua atlet memanah dan tiga daripada berbasikal telah layak secara merit.
Dengan proses kelayakan masih berlangsung, beliau menjangkakan lebih 20 atlet akan menggalas cabaran Malaysia di Paris.
Terdahulu, MPM menandatangani MoU dengan sembilan rakan strategik dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik serta membantu meningkatkan prestasi sukan Orang Kurang Upaya (OKU), selain menarik lebih ramai penderma bagi pembangunan paralimpik dalam negara.
"Dengan formula gandingan pemegang taruh dalaman dan luaran, MPM yakin misi negara ke Sukan Paralimpik Paris 2024 akan tercapai iaitu bagi TambahEmas dari enam yang sudah dicapai," katanya.
- BERNAMA
#Majlis Paralimpik Malaysia
#MPM
#pingat dua angka
#Sukan Paralimpik Paris 2024
#Megat D Shariman Zaharudin