Belgium pamer taring sebenar, tewaskan Republik Ireland 3-0

Astro Arena
Jun 18, 2016 01:25 MYT
Penyerang Belgium, Romelu Lukaku meraikan jaringannya pada perlawanan Kumpulan E saingan Euro 2016 antara Belgium dan Republik Ireland. - Foto AFP / EMMANUEL DUNAND
BELGIUM bangkit daripada kekalahan 2-0 kepada Itali dalam perlawanan pembukaannya untuk melakar kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Republik Ireland dalam perlawanan kedua Kumpulan E, Euro 2016, sebentar tadi.
Sebaik perlawanan dimulakan pengadil dari Turki, Cuneyt Cakir, Belgium mula mempamerkan penguasaannya sambil pemain-pemain Ireland memilih untuk lebih bertahan dan bergantung kepada serangan balas.
Skuad kendalian Marc Wilmots itu yang merehatkan Marouane Fellaini, bagaimanapun, gagal menterjemahkan dominasi mereka kepada sebarang jaringan sehingga berakhir babak pertama.
Namun, beberapa minit selepas permainan bersambung dalam separuh masa kedua, The Red Devils berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan penyerang Everton, Romelu Lukaku.
Penyerang berusia 23 tahun itu tidak mensia-siakan hantaran Kevin De Bruyne dengan merembat deras dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol, Darren Randolph.
Pemain tengah, Axel Witsel, kemudian menambah duka Ireland apabila meledakkan gol kedua menerusi tandukan tanpa dicabar pada minit ke-61.
Tidak lama kemudian, Lukaku menambah koleksi golnya di Nouveau Stade de Bordeaux apabila mudah merembat masuk dari jarak dekat selepas menerima hantaran bintang Chelsea, Eden Hazard.
Ireland sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada babak pertama apabila penyerang, Shane Long, jelas dikasari tetapi pengadil mengisyaratkan supaya permainan diteruskan.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Belgium kini menghuni tangga kedua Kumpulan E dengan tiga mata dan akan berdepan Sweden pada 23 Jun ini dalam misi mara ke pusingan 16 terakhir.
#Belgium #Euro 2016 #Republik Ireland #Romelu Lukaku
;