Belgium ketepikan saingan AS untuk ke suku akhir

Haider Yutim
Julai 1, 2014 07:29 MYT
Kemasukan Romelu Lukaku mengubah rentak permainan - EPA/YURI KOCHETKOV
Belgium memastikan kemaraan ke peringkat suku akhir apabila menewaskan Amerika Syarikat, 2-1 dalam aksi mendebarkan pusingan kedua Piala Dunia 2014 di Arena Fonte Nova, Salvador awal pagi tadi.
Kemenangan Belgium itu bukanlah mudah kerana mereka terpaksa bertarung sengit dengan pasukan Amerika Syarikat sehingga mengheret perlawanan ke masa tambahan selepas terikat 0-0.
Meskipun dilihat menguasai hampir keseluruhan permainan, Belgium nampaknya gagal memanfaatkan peluang yang diperoleh untuk menjaringkan gol.
EPA/YURI KOCHETKOV
Bagaimanapun, rentak permainan berubah setelah masuk ke masa tambahan, apatah lagi dengan kehadiran penyerang, Romelu Lukaku sebagai pemain gantian.
Mood baik yang yang dicetuskan Lukaku itu terbukti apabila pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne menjaringkan gol Belgium pada minit ke-93.
Jaringan De Bruyne itu merupakan hasil hantaran dari Lukaku.
Permainan bertambah rancak apabila Belgium menyumbat gol kedua ke dalam gawang Amerika Syarikat menerusi Lukaku pada minit ke-105.
EPA/GUILLAUME HORCAJUELO
Selang dua minit kemudian, Amerika yang tidak berputus asa terus menjaringkan gol pada minit ke-107 menerusi pemain sayap muda berusia 19 tahun, Julian Green.
Namun ia sudah terlambat bagi Amerika Syarikat untuk bangkit semula bagi meraih peluang ke suku akhir.
Minit-minit terakhir pelawanan menyaksikan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois berhempas pulas mempertahankan pintu gol dari kebangkitan Amerika Syarikat.
Belgium yang berjaya mara ke peringkat suku akhir akan menentang Argentina pada perlawanan itu nanti.
#2014 #Amerika Syarikat #AS #Belgium #Piala Dunia #salvador
;