Belgium bangkit untuk mengatasi Jepun 3-2
Ian Johan Ariff
Julai 2, 2018 05:43 MYT
Julai 2, 2018 05:43 MYT
Belgium bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Jepun 3-2 dengan gol kemenangan dijaringkan pada lewat permainan.
Kesemua gol dijaringkan dalam babak kedua dengan Jepun mendapat gol pertama menerusi Genki Haraguchi, pada minit ke-48 sebelum rembatan jarak jauh, Takashi Inui menewaskan Thibaut Courtois empat minit kemudian dalam pertarungan di Rostov Arena.
Belgium memulakan kebangkitan dengan tandukan Jan Vertonghen yang melambung tinggi ke penjuru kiri gawang di luar jangkauan penjaga gol Jepun, Eiji Kawashima pada minit ke-69.
Lima minit kemudian, Marouane Fellaini yang masuk sebagai pemain gantian, menanduk masuk gol penyamaan hasil hantaran lintang Eden Hazard.
Gol kemenangan Belgium hadir menerusi satu serangan balas pada minit keempat masa kecederaan, menerusi Nacer Chadli yang menyudahkan hantaran lintang Thomas Meunier.
Jepun dilihat mencipta kejutan selepas berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit selepas babak kedua bersambung, namun jurulatih Belgium, Roberto Martinez membuat dua pertukaran dengan memasukkan Fellaini dan Chadli pada minit ke-65 untuk merencana kebangkitan.
Ternyata percaturan itu membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain tersebut menjaringkan gol untuk pasukannya melengkpkan kebangkitan yang dimulakan Verthongen.
Belgium mara ke suku akhir dan akan bertemu Brazil pada 7 Julai jam 2 pagi.
#Awani FIFA
#Belgium
#Eden Hazard
#Eiji Kawashima
#Genki Haraguchi
#Jepun
#Marouane Fellaini
#Nacer Chadli
#Piala Dunia 2018
#Roberto Martinez
#Takashi Inui
#Thibaut Courtois
#Thomas Meunier