Belasah penyokong Myanmar: 'Kenapa kita berkelakuan seperti binatang?'
Kohilah Sekaran
Ogos 23, 2017 15:03 MYT
Ogos 23, 2017 15:03 MYT
SATU rakaman video yang menunjukkan dua orang penyokong Myanmar dibelasah teruk selepas perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Myanmar tular di media sosial sejak semalam.
Kedua-dua lelaki tersebut mengalami kecederaan teruk akibat dibelasah oleh sekumpulan penyokong pasukan Malaysia yang tidak dikenal pasti tujuan sebenarnya.
Dalam acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Stadium Shah Alam pada Isnin malam itu, Malaysia menundukkan Myanmar 3-1.
Kejadian tersebut disahkan semalam oleh Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat, lapor portal Free Malaysia Today.
Menurutnya, dua lelaki berusia 29 dan 34 tahun cedera di muka serta badan akibat ditumbuk dan ditendang sekumpulan suspek pada kira-kira 11.50 malam.
Kejadian yang berlaku di luar kawasan stadium itu mendapat perhatian netizen, dengan ramai yang mengkritik tindakan tidak bermoral tersebut.
Seorang netizen bernama Shah Rafi yang juga merupakan saksi kejadian berkata, dia agak kecewa melihat segelintir penyokong Malaysia berkelakuan seperti binatang.
Dibelasah teruk oleh penyokong Malaysia
Menurut Shah, dia sendiri melihat seorang penyokong Myanmar yang berlumuran darah terbaring akibat kecederaan di bahagian kepala.
“Sekurang-kurangnya dua penyokong Myanmar telah dibelasah. Dikhabarkan seorang darinya dah lembik nyawa-nyawa ikan dan dibawa ke hospital oleh seorang penyokong Malaysia.
“Manakala aku melihat sendiri dengan mata aku, seorang lagi penyokong Myanmar yang berlumuran darah di kepala, terbaring dibantu penyokong Malaysia.
“Punyalah marah dan geram saya masa itu, emosi bercampur aduk. Sedih melihat manusia berperangai binatang," tulis Shah menerusi laman Facebook.
Kenapa ada orang macam ini dilahirkan?
Difahamkan, ada juga penyokong Malaysia mencari pasal dengan penyokong Myanmar semasa perjalanan keluar dari stadium.
“Ada seorang lagi kawan aku melihat dengan mata sendiri ada beberapa orang penyokong Malaysia yang saja-saja mencari pasal dengan penyokong Myanmar semasa perjalanan keluar dari stadium.
“Kenapa ada orang-orang macam ni yang dilahirkan ke muka bumi? Adakah Tuhan sengaja menguji kita dengan manusia sebegini?” soal Shah.
Tambahnya lagi, apa yang berlaku kepada penyokong Myanmar mencemarkan imej rakyat dan negara.
"Implikasi kejadian ini biasanya bukan kena pada mereka yang melakukannya. Tapi orang lain. Di masa depan, ia akan menjadikan penyokong Malaysia yang ke luar negara rasa tidak selamat," tulisnya.
Sukan menyatukan rakyat
Shah menyatakan, sukan sepatutnya menjadi ejen penyatuan, bukannya perpecahan - apatah lagi matlamat Sukan SEA adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara negara.
Apa yang menyedihkan ialah, ada beberapa pihak yang gagal memahami perkara ini.
“Menjadi matlamat Sukan SEA untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara negara anggota. Malangnya, lain pula yang berlaku dalam dua tiga hari ni.
"Apa susah sangat ke pergi stadium, tengok bola, sokong, sorak, menang atau kalah, balik dan teruskan kehidupan seperti biasa."
Sampai bila mentaliti ini akan berterusan?
Shah juga merayu kepada mereka yang tidak mampu menghayati perpaduan untuk tidak melibatkan diri dalam kesukanan.
“Sukan adalah ejen penyatuan, bukan perpecahan. Mungkin golongan samseng ini tidak mampu menghayati mesej sebenar dalam sukan.
“Ya, orang-orang macam ini eloknya jangan tengok atau menyokong pasukan dalam apa-apa jenis sukan. Tinggal sahaja di hutan, bergaduh dengan beruang untuk berebut madu.
"Persoalannya sampai bila mentaliti ini akan berterusan?” Shah akhiri kenyatan itu.
Posting Shah setakat ini meraih lebih 1,000 likes dan 500 shares malah menerima pelbagai reaksi daripada netizen.