Belanjawan 2021: Sedia pelepasan cukai khusus untuk bidang sukan
Fauzi Suhaimi
September 11, 2020 19:55 MYT
September 11, 2020 19:55 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta Kementerian Kewangan (MOF) mempertimbangkan untuk memberi pengecualian cukai khusus bagi sebarang perbelanjaan dan pembelian dalam bidang sukan.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, cadangan itu perlu diberi perhatian kerajaan khususnya dalam Pembentangan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada November depan.
Katanya, inisiatif itu secara tidak langsung mampu mengurangkan kadar kos sara hidup rakyat selain menyemarakkan ekosistem sukan susulan pandemik COVID-19.
“Sekarang ini kita ada insentif pengecualian cukai untuk gaya hidup yang merangkumi semua aspek seperti pembelian telefon, komputer riba dan alatan sukan.
“Tetapi untuk belanjawan kali ini kita harap agar MOF mempertimbangkan pemberian pengecualikan cukai secara khusus bagi pembelian dan pelaburan dalam bidang sukan.
“Ini kerana, tahap kepedulian rakyat terhadap sukan sudah tinggi bukan sahaja untuk diri sendiri malah pelaburan sukan untuk anak-anak,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Felo Korporat 2020 di sini pada Jumaat.
Terdahulu majlis itu dirasmikan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Hadir sama Timbalannya, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, tumpuan terhadap peruntukan dalam sukan perlu diberikan memandangkan sektor ini antara yang kurang mendapat manfaat menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan sebelum ini.
Mengulas mengenai Program Felo Korporat, Reezal Merican ketika dalam ucapannya memaklumkan, seramai 30 orang terdiri daripada graduan dan siswa berjaya menyertai program itu yang bakal ditempatkan di 23 syarikat swasta mulai Isnin ini.
“Program yang diperkenalkan sejak 2019 itu berbentuk latihan industri selama enam bulan bagi graduan manakala tiga bulan bagi siswa,” jelasnya.
#Belanjawan 2021
#Belia
#COVID-19
#cukai
#ekonomi
#KBS
#Kementerian Belia dan Sukan
#Kementerian Kewangan
#kerajaan
#koronavirus
#pandemik
#pelaburan
#Reezal Merican Naina Merican