Pasukan Belanda berjaya memasuki peringkat tersebut setelah menewaskan Mexico, manakala Costa Rica pula berjaya ke suku akhir selepas mengalahkan Greece dalam penentuan penalti.
Prestasi peringkat kumpulan dan pusingan kedua Piala Dunia menyaksikan pasukan itu beraksi mantap dan sukar ditewaskan meskipun hampir dikecewakan oleh Mexico yang dibelakangi penjaga gol hebat, Guillermo Ochoa.
Meskipun Belanda kehilangan Nigel De Jong yang ditimpa kecederaan pangkal peha, namun jurulatih mereka Louis Van Gaal menaruh kepercayaan tinggi terhadap pasukannya untuk mara ke peringkat seterusnya dan ke final.
Pada peringkat ini, tentunya pasukan Oranje itu tidak akan mengambil mudah berkenaan pertemuan mereka dengan Costa Rica.
Bagi Costa Rica pula, mereka perlukan persembahan yang mantap terutama dari Bryan Ruiz dan Joel Campbell.
Pemain Belanda, Arjen Robben. Foto AP
Bagi mereka, meskipun Belanda pasukan yang hebat namun mereka tetap yakin mempunyai peluang untuk menewaskan Belanda.
Untuk perlawanan yang bakal berlangsung di Arena Fonte Nova itu nanti, Costa Rica dijangka akan banyak bertahan berbanding pasukan Belanda yang akan banyak melakukan serangan dan seterusnya meraih kemenangan.
Tempat: Salvador. Waktu perlawanan: 4 pagi.