Belanda hukum ketumpulan Scotland
Astro Arena
Mac 23, 2024 09:00 MYT
Mac 23, 2024 09:00 MYT
BELANDA 4 SCOTLAND 0
Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman, enggan berselindung bahawa anak buahnya tidaklah sekental mana tatkala ketumpulan jentera serangan Scotland memakan diri, awal pagi tadi.
Scotland dihukum pada lewat permainan apabila dibelasah 0-4 kepada Belanda dalam pertemuan persahabatan di Amsterdam, awal pagi tadi.
Pelawat mengawal sebahagian besar separuh masa pertama yang menyaksikan percubaan Ryan Christie terkena tiang, namun Belanda mendahului lima minit selepas rehat dengan rembatan padu Tijjani Reijnders.
Scotland terus membuat gerakan dan terlepas peluang menarik di Johan Cruijff Arena itu apabila percubaan Lawrence Shankland pada minit ke-62 terkena palang biarpun hanya tinggal penjaga gol Belanda, Mark Flekken untuk ditewaskan.
Sepuluh minit kemudian, ia terpaksa dibayar dengan harga mahal apabila Georginio Wijnaldum menanduk masuk bagi menggandakan kedudukan disusuli penyudah pemain gantian, Wout Weghorst dan Donyell Malen, pada minit ke-84 dan ke-86.
"Keputusan ini seperti mudah tetapi tidak sebelum ia tamat. Mereka mungkin memberikan tentangan yang agak sengit dalam 10-15 minit terakhir dan kami juga menghidu lebih banyak ruang, kami tahu kami boleh mencipta peluang serta menjaringkan gol yang baik.
"Dalam tempoh sejam permainan, Scotland merupakan pasukan yang lebih baik dan mencipta lebih banyak peluang untuk menjaringkan gol.
"Sukar untuk dipercayai bahawa mereka buntu mencipta jaringan memandangkan mereka mempunyai beberapa peluang yang sangat baik.
"Kami sedar dari awal lagi bahawa mereka akan berjuang dan mereka adalah pasukan yang sangat agresif menerusi beberapa pemain yang bagus di barisan hadapan seperti John McGinn, dia bermain dengan sangat baik hari ini.
"Kami kerap kehilangan bola dan situasinya sangat teruk hari ini," kata Koeman.