Bekas penyerang Manchester United, Atletico Madrid Falcao dikaitkan ke JDT

Bernama
Mac 1, 2023 16:07 MYT
Falcao yang masih mempunyai kontrak bersama Rayo Vallecano yang bersaing dalam LaLiga sehingga Jun ini, dilaporkan sedang menilai tawaran untuk menandatangani kontrak bersama Harimau Selatan. - Foto Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang pinjaman Manchester United dan pemain kebangsaan Colombia, Radamel Falcao dikaitkan dengan perpindahan 'mengejutkan' apabila sedang berunding untuk menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT).
Menurut laporan akhbar Sepanyol, Marca, Falcao yang masih mempunyai kontrak bersama Rayo Vallecano yang bersaing dalam LaLiga sehingga Jun ini, sedang menilai tawaran untuk menandatangani kontrak bersama Harimau Selatan.
Laporan itu menyatakan skuad bimbingan Esteban Solari itu mahukan Falcao untuk dua musim akan datang sebelum menjadikan penyerang berusia 37 tahun yang diberi julukan El Tigre sebagai duta kelab dan negeri Johor pascapersaraan.
"Sementara menunggu rundingan terakhir dengan pasukan, penyerang itu (Falcao) sudah menunjukkan dirinya sanggup menghadapi perjalanan profesional baharu walaupun dia juga dalam senarai pilihan Peter Lim untuk memperkuat Valencia," menurut laporan itu.
Valencia yang dimiliki ahli perniagaan Singapura, Peter Lim, dilaporkan turut berminat mendapatkan khidmat Falcao yang pernah menyarung jersi United pada musim 2014-2015.
Sekiranya menyertai JDT, ia akan menjadi kelab kesepuluh dalam kariernya selepas mencipta nama bersama beberapa kelab terkenal serata dunia antaranya River Plate, FC Porto, Atletico Madrid, AS Monaco, Chelsea dan Galatasaray.
Antara kejuaraan pernah dikecapi Falcao ialah dua gelaran Liga Europa masing-masing bersama Porto pada musim 2010-2011 dan Atletico Madrid (2011-2012) selain pernah membantu Atletico Madrid menjuarai Piala Super UEFA pada 2012.
Bagaimanapun, Falcao hanya boleh membuat penampilan di Liga Super selepas jendela pendaftaran kedua dibuka bermula 5 Julai sehingga 1 Ogos ini.
JDT yang diperkuat dengan kehadiran beberapa muka baharu memulakan kempen Liga Super musim ini dengan bergaya apabila menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Terengganu FC 2-0, minggu lalu.
-- BERNAMA
#Radamel Falcao #Manchester United #JDT #pemain Colombia
;