Bekas pemain kebangsaan era 90-an meninggal dunia
Sinar Harian
Disember 17, 2022 05:00 MYT
Disember 17, 2022 05:00 MYT
BEKAS pemain kebangsaan era 1990-an, Salahuddin Che Ros telah menghembuskan nafas terakhirnya di usia 53 tahun, pada Sabtu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika berkongsi perkhabaran itu berkata, Allahyarham yang merupakan anggota skuad Barcelona Babes 1992 turut pernah menyarung jersi Pahang dan Pulau Pinang.
“Semoga ALLAH SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” kata badan induk bola sepak negara itu di laman sosialnya pada Sabtu.
Untuk rekod, Allahyarham Salahuddin bermain di posisi pertahanan skuad Barcelona Babes yang dibentuk khas FAM pada 1990 dengan sasaran layak ke Sukan Olimpik 1992.
Namun kegagalan projek itu menyaksikan skuad tersebut dibubarkan dan semua pemain pulang mewakili pasukan negeri masing-masing.
Namun Allahyarham Salahuddin disambar Pahang, menyaksikan selepas dua tahun bersama Tok Gajah, berjaya merangkul kejuaraan Piala Malaysia 1992, sebelum kembali bersama Pulau Pinang pada 1994. - Sinar Harian