Bekas pemain hoki kebangsaan S Sivabalan meninggal dunia

Bernama
Mac 12, 2022 12:25 MYT
Sivabalan dikatakan pengsan ketika sedang bermain hoki dalam satu perlawanan bagi sambutan ke-125 tahun Kelab Diraja Ipoh. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas pemain hoki kebangsaan S Sivabalan,59, meninggal dunia di Ipoh, Perak, hari ini.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Prof Datuk Dr S Shamala.
Sivabalan dikatakan pengsan ketika sedang bermain hoki dalam satu perlawanan bagi sambutan ke-125 tahun Kelab Diraja Ipoh.
"Saya difahamkan oleh rakan Sivabalan yang berada di situ di mana beliau tiba-tiba rebah ketika bermain.
Rakan-rakannya turut cuba melakukan bantuan pernafasan kecemasan namun beliau tidak menunjukkan sebarang respons," katanya ketika dihubungi Bernama.
Difahamkan Sivabalan meninggal dunia pada 3.30 petang tadi.
Sivabalan pernah bermain mewakili skuad hoki kebangsaan pada era 80-an dan turut bermain untuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang pada era 90-an dikenali sebagai Kelab Kilat.
-- BERNAMA
#bekas pemain hoki kebangsaan #S Sivabalan #meninggal dunia #Ipoh