Bekas pemain bola sepak Singapura "Mat Noh" meninggal dunia
Bernama
September 20, 2021 18:24 MYT
September 20, 2021 18:24 MYT
SINGAPURA: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Singapura, Mohamed Noh Hussein meninggal dunia hari ini selepas mengalami serangan jantung pada pagi Ahad.
Dalam kemas kini di Facebook, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) amat dukacita dengan berita pemergian bekas anggota pasukan kebangsaan berusia 67 tahun itu.
Dikenali sebagai "Mat Noh" dalam kalangan generasi peminat pada 1970-an, FAS menyatakan penyerang mahir itu sering menghiburkan peminat dengan kehebatan mempesonakan dan aksi lincahnya ketika di atas padang.
"Beliau adalah mimpi ngeri untuk pemain lawannya, dan membantu pasukannya memenangi Piala Malaysia 1977," menurut kemas kini itu.
FAS menyatakan Mat Noh juga terkenal kerana menghadiahkan gol kemenangan untuk mendahului 1-0 pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia pada 6 Mac 1977, menerusi sepakan penalti di Stadium Kallang ketika menentang pasukan Malaysia yang ketika itu dianggap antara pasukan terbaik di Asia.
"Salam takziah kami ucapkan kepada keluarga beliau".
Terdahulu, media tempatan melaporkan bekas pemain sayap itu berada dalam keadaan kritikal di Hospital Awam Sengkang.
Sementara itu, penyanyi veteran Singapura, Rahimah Rahim yang pernah mendirikan rumah tangga bersama Mat Noh selama 11 tahun turut bersedih.
"Saya dan keluarga dengan sedih hati ingin memberitahu Mohd Noh Hussin, 67 tahun, telah pulang ke rahmatullah.
"Semoga Roh Allahyarham di tempatkan bersama orang-orang yang beriman dalam rahmat Allah SWT. Terima kasih semua atas doa buat Allahyarham," tulis beliau di Facebooknya yang disertakan dengan foto Mat Noh.
Pasangan itu bercerai pada 1988.
Pemergian Mat Noh turut mendapat perhatian Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan.
"Kemahiran Mat Noh yang mempesonakan bersama rakan sepasukannya akan kekal terpahat dalam ingatan bagi generasi saya. Piala Malaysia adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dengan kita semua. Semoga beliau tenang di sana," tulis Balakrishnan di laman Facebooknya.
-- BERNAMA