Bekas pemain bola sepak Kelantan, kebangsaan kritikal
Sinar Harian
April 21, 2024 07:30 MYT
April 21, 2024 07:30 MYT
BEKAS pemain bola sepak Kelantan era 70-an Apandi Yusof, 73, berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa ditidurkan selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.
Anaknya, Farah Adila, 40, berkata, ketika ini bapanya sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
"Ayah dimasukkan ke wad pada Khamis lalu selepas rebah di dalam bilik. Semasa kejadian dia berada berseorangan di rumah.
"Sebelum ini, adik saya dan ibu ada hubungi ayah, namun tiada jawapan. Risau dengan keadaan itu, kami menghubungi emak saudara dan memintanya untuk memeriksa keadaan ayah," katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, selepas itu emak saudara memberitahu ayah ditemukan dalam keadaan rebah dan separuh sedar.
Ujarnya, terdahulu sebelum kejadian ayah ada ke klinik untuk membuat pemeriksaan selepas kakinya bengkak.
Farah Adila memberitahu, pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati paru-paru ayah sudah kronik selepas terkena jangkitan kuman.
"Kepada yang mengenali ayah, saya minta doakan ayah kembali pulih seperti biasa.
"Keadaan ayah ketika ini sangat kritikal, esok dia akan menjalani pembedahan bagi membolehkan rawatan dialisis dilakukan selepas buah pinggangnya pula tidak dapat berfungsi," katanya.
Selain menabur bakti bersama Kelantan, Apandi yang beraksi di posisi penyerang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan sekitar tahun 1970-an. - Sinar Harian