Bekas delegasi LaLiga dilantik sebagai CEO MFL baharu

Bernama
September 5, 2024 14:05 MYT
Pelantikan Rossi, individu luar negara pertama sebagai CEO MFL, dibuat berdasarkan pengalamannya dalam industri bola sepak sejak 2013, termasuk tugas di Serie A, Valencia CF, dan LaLiga.
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan bekas Delegasi LaLiga di Malaysia Giorgio Pompili Rossi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL baharu.

Ringkasan AI
  • Giorgio Pompili Rossi, bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Liga Bolasepak Malaysia (MFL), menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak pada 31 Ogos.
  • Pelantikan Rossi, individu luar negara pertama sebagai CEO MFL, dibuat berdasarkan pengalamannya dalam industri bola sepak sejak 2013, termasuk tugas di Serie A, Valencia CF, dan LaLiga.
  • Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berharap pengalaman Rossi dalam bola sepak Malaysia dan rantau ini akan membantu menguruskan aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia.

Pelantikan Rossi bagi menggantikan Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontraknya bersama badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) pada 31 Ogos lepas.
Keputusan pelantikan itu dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat semalam sekali gus menyaksikan Rossi individu dari luar negara pertama dilantik sebagai CEO MFL.
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan berkata keputusan melantik Rossi dibuat berdasarkan pengalaman yang beliau ada dalam industri bola sepak sejak 2013 sehingga kini.
"Kami di MFL mengalu-alukan kedatangan Pompili Rossi dan menaruh kepercayaan dengan kebolehan serta kepakaran beliau untuk menjalankan tugas selaku CEO yang baharu di sini. Beliau akan memulakan tugas apabila selesai urusan mendapatkan visa dalam masa terdekat.
"Pengalaman dan pengetahuan Pompili Rossi tentang bola sepak Malaysia dan rantau ini diharapkan dapat membantu dalam menguruskan operasi MFL, khususnya daripada aspek pertandingan dan komersial Liga Malaysia," kata Ab Ghani dalam kenyataan MFL hari ini.
Rossi memulakan kerjayanya dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A (Liga Itali) dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum menyertai LaLiga (Liga Sepanyol) pada 2017.
Beliau mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada 2017 sehingga 2021 dan beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.
Beliau kemudian melebarkan sayap kerjaya sebagai Delegasi LaLiga Thailand serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sebelum dilantik sebagai CEO MFL.
Sementara itu, Ab Ghani turut memberikan penghargaan kepada Stuart atas sumbangannya selama tiga tahun menerajui sekretariat MFL.
Beliau berkata komitmen tinggi telah ditunjukkan oleh bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu membolehkan MFL berjaya melakukan banyak perubahan khususnya dalam penstrukturan semula Liga-M, penggunaan video bantuan pengadil (VAR) serta peningkatan nilai komersial Liga-M.
-- BERNAMA
#CEO MFL baharu #LaLiga #stuart ramalingam #Giorgio Pompili